Kuala Lumpur: Penerjun sensasi negara, Nur Dhabitah Sabri tidak akan mengalah untuk terus memburu tempat ke temasya Sukan Olimpik Paris dan juga menghadiahkan pingat buat negara di Sukan Asia, Hangzhou, China September ini.
Malah dia yang kini bergelar isteri kepada pelawak dan pelakon, Jiggy Masin, 33, tidak menyekat hasratnya untuk terus berbakti kepada negara.
Dhabitah ketika ditemui berkata, suaminya itu menjadi kekuatan dan tulang belakang kepada dirinya dan sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya untuk mengejar cita-cita merangkul pingat di peringkat tertinggi.
“Alhamdulillah, status isteri tak mengganggu fokus saya terhadap sukan kegemaran saya ini. Suami sudah memberi izin kepada saya untuk saya mengejar cita-cita saya.
“Malah dia menjadi kekuatan dan sangat menyokong apa yang saya lakukan. Dia pernah berkata kepada saya, jika saya mahukan sesuatu, pergi dan dapatkannya dan dia akan sentiasa memberi sokongan sehinggalah saya rasa ok ‘i’m done’,” katanya.
Pemenang pingat gangsa dalam acara 10m terjun seirama bergandingan bersama Datuk Pandelela Rinong di Kejohanan Dunia tahun lalu berkata, fokusnya kini untuk kembali cergas sepenuhnya untuk membolehkannya beraksi di Sukan Asia.
Dia dijangka beraksi dalam acara 3m papan anjal individu dan 1m papan anjal berharap akan turut disenaraikan dalam acara 10m seirama.
Ditanya mengenai pencabar terkuat di Hangzhou nanti, Nur Dhabitah menjelaskan dia akan berdepan penerjun hebat dari Jepun dan juga China dalam acara 3m.
“Dalam acara 3m, kita tahu pertandingan itu akan menjadi sukar terutama cabaran dari penerjun Jepun dan juga China. Buat masa ini saya tidak mahu fokus ke arah itu kerana kita tahu mereka lakukan dengan baik di Berlin.
“Fokus saya cuba untuk kembali bersaing dalam acara 10m. Saya rindu untuk kembali bersaing dalam acara tersebut. Sejak saya menjadi atlet kebangsaan, jurulatih saya latih saya dalam acara 3m dan 10m, jadi saya ada pilihan.
“Ketika ini, tak pasti lagi acara apa yang saya akan sertai dan bergantung pada proses pemulihan saya,” katanya yang mengalami kecederaan pergelangan tangan ketika menyertai Kejohanan Terjun Dunia di Fukuoka, Jepun bulan lalu.
Sumber: Kosmo