PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan untuk cuba mendapatkan kerjasama daripada setiap pasukan bagi melepaskan pemain masing-masing ke latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, bermula Ahad ini.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sedar kemungkinan yang bakal dihadapi memandangkan Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada 17 hingga 26 Ogos adalah di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“InsyaAllah ada (jaminan),” katanya ringkas ketika ditanya mengenai jaminan tiada timbul isu pelepasan pemain pada latihan pusat kali ini.
Berdasarkan senarai 25 pemain yang dipanggil E. Elavarasan kali ini, tiada kelibat nama besar seperti Luqman Hakim Shamsudin, Nooa Laine ataupun Arif Aiman Hanapi dipanggil.
Sebaliknya, Elavarasan memberikan peluang kepada pemain Imigresen FC, Muhammad Hazim Abu Zaid, menjadikannya sebagai wakil tunggal daripada kelab Liga M3.
Cabaran menanti Elavarasan untuk menyiapkan pasukan terbaik memandangkan jurulatih itu hanya memiliki tempoh kurang dua minggu sebelum membuka tirai saingan.
Pada saingan Kejuaraan B-23 AFF kali ini, pasukan negara berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Timor Leste dan bakal membuka saingan bertemu skuad Garuda pada 18 Ogos ini.
Sumber : Kosmo