Johor Darul Ta’zim (JDT) belum bersedia menerima semula kepulangan Safawi Rasid selepas pemain sayap itu dikatakan tidak gembira di Liga Thailand bersama Ratchaburi FC.
Safawi, 26, sebelum ini dipinjamkan oleh JDT selama semusim ke Thailand pada Januari lalu atas permintaan pemain kebangsaan itu bagi mendapatkan minit permainan selepas kerap memanaskan bangku simpanan.
Selepas tiga bulan berada di sana, Safawi sudah membuat sembilan kemunculan di Liga Thailand dan meledak satu gol ketika membantu Ratchaburi menewaskan Chonburi 2-1 dalam saingan utama liga negara terbabit, lapor Harian Metro.
Menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, biarpun pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu ada meluahkan tidak selesa di sana, skuad Harimau Selatan belum membuat keputusan untuk menerimanya semula atau sebaliknya.
“Safawi ada berhubung dengan saya dan saya rasa dia tidak begitu selesa di sana (Thailand). Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi ‘loan’ ini bukan saya yang hantar, dia yang nak pergi ‘loan’.
“Kami hanya beri kerjasama apabila dia kata mahu mendapatkan lebih minit permainan.
“Buat masa ini belum ada kata putus lagi (sama ada bawa pulang). Tak tahu dia (Safawi) nak balik atau tidak, tetapi saya tahu dia kurang selesa di sana.
“Adalah ura-ura yang mengatakan kalau boleh nak balik sini (JDT). Kita tengok dulu, saya pun belum ada kata putus dan belum membuat keputusan,” kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Berdasarkan rekod, ini adalah penghijrahan kedua Safawi selepas pernah beraksi di Liga Portugal bersama Portimonense SC pada awal Oktober 2020.
Namun tempoh pinjaman selama semusim itu berakhir awal apabila dia hanya mampu bertahan selama dua bulan sahaja sebelum pulang ke tanah air menyertai semula JDT pada penghujung Disember 2020.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Harian Metro