Cipta sejarah! Piala Dunia FIFA Qatar 2022 bakal dikendali pengadil wanita

PIALA Dunia FIFA Qatar 2022 bakal memecah tradisi apabila bakal menampilkan pengadil wanita buat pertama kali dalam sejarah.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, badan bola sepak dunia itu berkata, tiga pengadil wanita serta tiga pembantu pengadil wanita akan ditugaskan sepanjang acara di Qatar itu yang bakal berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember 2022, lapor Astro AWANI.

Mereka terdiri daripada warga Perancis Stephanie Frappart, Yoshimi Yamashita dari Jepun dan Salima Mukansanga dari Rwanda.

Pembantu pengadil wanita pula terdiri daripada Nueza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina dari Mexico, serta Kathryn Nesbitt dari Amerika Syarikat.

Yoshimi Yamashita

Sejumlah 36 pengadil, 69 pembantu pengadil serta 24 pegawai video telah dipilih oleh FIFA untuk bertugas dalam acara ini.

“Ini mengakhiri proses pemilihan panjang yang bermula bertahun lalu dengan penugasan pengadil wanita ketika perlawanan lelaki junior dan senior FIFA.

“Mereka layak menyertai Piala Dunia FIFA ini atas dasar pencapaian mereka sebelum ini dan ia merupakan faktor penting bagi kami,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina.

Tahun lepas, Frappart menjadi pengadil wanita pertama mengadili perlawanan di Eropah selepas dilantik UEFA.

Sumber: Astro AWANI