VIETNAM 2 – THAILAND 2
Juara bertahan, Thailand, disingkirkan daripada acara bola sepak Sukan SEA Filipina apabila terikat 2-2 dengan Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Binan hari ini.
Vietnam melangkah ke separuh akhir selaku penduhulu kumpulan dengan 13 mata, satu mata di depan Indonesia yang turut layak selepas menewaskan Laos 4-0 dalam sati lagi perlawanan yang berlangsung serentak.
Thailand pula terpaksa akur perjuangan mereka ditamatkan selepas hanya mengumpulkan 10 mata daripada lima perlawanan.
Park Hang Seo meletakkan Nguyen Van Toan sebagai penjaga gol Vietnam selepas mengetepikan bintang Hanoi FC, Bui Tien Dung, yang melakukan banyak kesilapan ketika pasukannya menewaskan Indonesia 2-1 dua hari lalu.
Bagaimanapun, keputusan itu hampir memakan diri pakar taktikal daripada Korea Selatan itu.
Penjaga gol Hai Phong FC itu menghadiahkan gol pertama Thailand pada mint kelima apabila dia yang menerima hantaran ke belakang Doan Van Hau, berasa gugup kerana didekati Supachai Jaided sebelum menyepak bola ke arah penyerang Buriram United itu yang seterusnya melantun ke gawangnya sendiri.
Benteng terakhir Vietnam itu juga perlu dipersalahkan ketika Thailand meraih gol kedua pada minit ke-10 apabila dia bertindak untuk keluar daripada kawasannya sebelum ditewaskan Suphanat Mueanta untuk pemain berusia 17 tahun itu menyumbat gol kelimanya dalam edisi ini.
Perjuang skuad Naga Emas itu bertiup semula apabila Nguyen Tien Linh menyelinap di antara dua pertahanan lawan untuk menanduk masuk bola hantaran lintang dari sebelah kanan bagi merapatkan kedudukan pada minit ke-15.
Ketika Indonesia sedang mendahului Laos 3-0, Vietnam berkemungkinan terlepas tempat selaku pendahulu, namun mereka mempertahankannya apabila Tien Linh menyudahkan gol kedua daripada sepakan penalti penuh kontroversi pada minit ke-72.
Pertahanan tengah Thailand, Chatchai Saengdao, dipersalahkan kerana menjatuhkan Tien Linh dalam kawasan penalti.
Susulan itu, pertahanan Vietnam, Huynh Tan Sinh, yang tampil untuk mengambil sepakan itu, bagaimanapun, menyepak ke arah penjaga gol, Korraphat Nareechan, sebelum sepakan susulan Ha Duc Chinh melambung tinggi.
Tetapi Vietnam bernasib baik apabila pengadil membenarkan sepakan itu diambil semula kerana Korraphat dikesan telah memijak garisan gol sebelum Tan Sinh melakukan sepakan.
Tien Linh kemudian memanfaatkan kesempatan itu untuk menjaringkan gol kedua peribadinya, yang turut menyingkirkan Thailand.
Dalam pada itu, Indonesia turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Laos di Imus.
Saddil Ramdani membuka jaringan pada minit keempat sebelum penyerang muda sensasi, Osvaldo Haay, menggandakannya pada awal babak kedua.
Bagas Adi Nugroho turut tersenarai sebagai penjaring pada minit ke-73 sebelum Osvaldo meraih gol kedua peribadi pada penghujung perlawanan.
Vietnam akan bertemu naib juara Kumpulan A, Kemboja, manakala Indonesia akan bertemu Myanmar dalam separuh akhir Sabtu ini.