BARCELONA 5 – REAL MALLORCA 2
Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berkata kejayaan Lionel Messi merakamkan rekod hatrik terbanyak adalah “cara yang baik untuk meraikan Ballon d’Or”.
Selepas menjulang Ballon d’Or yang keenamnya pada awal minggu ini, Messi melakar hatrik untuk mengetuai juara LaLiga itu mencipta kemenangan 5-2 ke atas Real Mallorca, awal pagi tadi.
Messi, yang ditabalkan pemenang Ballon d’Or pada Selasa lalu, dan kapten Barca itu meneruskan rentak memukaunya dengan mengatasi rekod jaringan hatrik LaLiga milik bekas bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
Selepas menyaksikan anak buahnya itu merakam hatrik yang ke-35 tersebut, Valverde menyanjung bintang berusia 32 tahun berkenaan dalam sidang akhbar di Camp Nou.
“Sukar dipercayai,” kata Valverde kepada wartawan selepas Barca kembali unggul di depan seteru terdekat, Real Madrid.
“Ini cara yang baik untuk meraikan Ballon d’Or.”
Tatkala tonggak Argentina berkenaan mendominasi tajuk utama menerusi persembahannya, rakan sepasukannya, Luis Suarez, pula mencetak gol memukau dengan tumit bagi menyempurnakan satu gerakan untuk menghukum Mallorca.
Mengenai jaringan Suarez pada minit ke-43 itu, Valverde menambah: “Situasi ini mengejutkan saya. Saya sangka ia satu hantaran kepada rakan sepasukan.
“Ia mengejutkan saya, tetapi ia adalah satu gol yang luar biasa. Saya memberitahunya bahawa terdapat beberapa peluang yang lebih mudah dan yang satu ini, adalah tidak mungkin untuk masuk.”