Isu yang timbul di antara Ali Puteh dan kakak iparnya, Siti Nurhidayah Mohd Ali selepas video temubual balu kepada Allahyarham Abam Bocey yang disiarkan oleh Aliff Syukri menimbulkan banyak reaksi netizen.
Disebabkan itu, ramai pihak yang mempertikaikan tindakan keluarga Abam Bocey yang dituduh cuba mengambil harta arwah tanpa memberi sedikit pun kepada Nurhidayah.
Dalam temubual bersama Official Ria X malam tadi, Ali menggesa semua pihak tidak hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak sahaja. Dalam masa yang sama Ali memberi penjelasan penuh mengenai semua perkara yang berbangkit.
Dalam video itu, Ali terdahulu meminta maaf jika dia atas terkasar bahasa dan menyakiti hati mana-mana pihak dan turut memaafkan netizen yang menghina dia secara terbuka di media sosial.
TELEFON BIMBIT ABAM
“Sejak hari kedua selepas arwah meninggal dunia, saya dah berbincang dengan isterinya untuk saya menguruskan hal-hal penting dan yang paling utama adalah mengenai hutang.
“Untuk isu telefon bimbit, saya yang menguruskan abang saya sebelum saya menjadi seperti sekarang. Tujuan saya meminta telefon bimbit itu adalah kerana saya tahu banyak perkara berkaitan kerjanya ada di situ.
“Di situ juga saya dapat periksa kalau-kalau arwah ada sebarang hutang yang perlu dilangsaikan. Saya dan keluarga tak perlukan pun telefon itu kerana masing-masing, arwah dah belikan telefon bimbit,” katanya.
DOMPET ABAM DIAMBIL DARI NURHIDAYAH
“Bila dicerita bahawa kami mengambil dompet milik Abam daripadanya, ia umpama satu benda besar. Sebenarnya, saya terima panggilan daripada seorang sahabat yang inginkan maklumat mengenai nombor keahlian Persatuan Seniman yang dianggotainya untuk menguruskan khairat kematian.
“Bila saya terima dompet itu, yang ada cuma kad-kad biasa, tanpa wang dan juga kad-kad bank. Jadi, bila saya tanya kepadanya, dia cakap tak ada duit dan arwah tak ada tinggalkan apa-apa.
“Mustahil kerana saya bersama arwah selama 31 tahun dan saya tahu abang saya memang sentiasa akan ada duit bersamanya. Saya pesan kepadanya, kalau termakan duit itu, itu kesilapan kerana belum faraid apa-apa.
“Dia juga pegang kad bank arwah. Saya tanya kenapa dia buat begitu sedangkan kita dah berbincang untuk saya uruskan semuanya. Kalau dia takut saya ambil duit dari akaun arwah, tak ada gunanya sebab kalau seseorang sudah meninggal, akaunnya akan disekat. Saya cuma nak kumpul semuanya untuk tujuan faraid,” katanya.
KERETA ARWAH DIAMBIL DAN TAK DIBENARKAN BAWA KERETA ABAM
“Arwah ada dua kereta iaitu Toyota Vellfire dan Perodua Myvi. Vellfire itu saya dan arwah yang susun dan beli. Bila dia meninggal dunia, itu adalah hutang. Saya dah terangkan kepada isterinya mengenai amaun bayaran bulanan dan sekiranya dia mampu, dia boleh menyambung bayar.
“Saya pun dah ada banyak kereta. Buat apa saya nak ambil kereta itu? Satu lagi kereta adalah Myvi yang disambung bayar oleh arwah daripada pakcik kami. Sebelum arwah meninggal, dia ada meminta pakcik saya untuk kirakan berapa jumlah baki hutang.
“Dia juga meminta supaya bila dah selesai bayar, dia nak tukarkan nama pemilikan Myvi itu kepada isterinya. Benda itu pun saya dah terangkan kepada isterinya. Tapi, sementara itu saya yang bertanggungjawab menyusun semuanya supaya lebih mudah urusan selepas ini,” katanya.
TERPAKSA BAWA ANAK DEMAM KE KLINIK NAIK GRAB
“Hari keempat, dia bersama kedua ibu bapanya masih berada di rumah arwah bersama ibu saya. Saya pun berada di situ untuk menjaga ibu saya. Mustahil ada isu untuk membawa anak ke klinik kerana ibu saya yang memintanya membawa anak ke klinik kerana demam.
“Jadi, pemandu arwah membawa ibu saya dan anak arwah ke klinik dengan menaiki Myvi. Dari mana datangnya cerita dia terpaksa membawa anak ke klinik menaiki Grab? Mustahil saya tak izinkan dia bawa kereta,” katanya.
DIHALAU KELUAR DARI RUMAH SEHELAI SEPINGGANG
“Dia sendiri yang nak keluar dari rumah. Kalau mengikut hukum, tempoh edah adalah selama empat bulan 10 hari. Tapi, pada hari keenam, dia ambil keputusan untuk keluar bersama keluarganya.
“Saya beritahu dia bahawa esok adalah hari ketujuh arwah meninggal dunia dan nak diadakan majlis tahli. Saya tak tahu, mana isi hati dan keperibadian dia sebagai balu. Dia tetap nak balik pada petang Sabtu itu juga.
“Untuk isu sehelai sepinggang pula, itu mustahil kerana biliknya tak ada barang termasuklah wang-wang tabungan serta koleksi jam tangan mahal milik arwah. Semuanya dibawa bersama,” katanya.
Mengulas mengenai gelaran ‘binatang’ yang ditujukan kepada kakak iparnya, Ali berkata kemarahannya timbul selepas dia mendapati dia dan keluarganya dihina selepas ahli perniagaan berkenaan menyiarkan video live itu dan kakak iparnya menceritakan perkara yang tidak sepatutnya sehingga menimbulkan fitnah yang membawa kepada tanggapan seperti dia dan keluargam ahu membolot harta arwah abangnya.
Tegas Ali, sebagai Islam, dia tahu hukum agama mengenai hak waris dan keluarga si mati. Pada hari kedua selepas pemergian Abam, Ali ada memberitahu Nurhidayah yang dia akan membantu menyusun proses faraid agar lebih mudah dan Nurhidayah pun bersetuju.
ALIFF MAHU JADI ‘HERO’
Ali juga meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan Aliff yang mahu menjadi ‘hero’ sehingga menyebabkan masalah itu menjadi besar dan keluarganya dicemuh di media sosial.
“Semasa kami hidup susah, kau tak ada muncul pun. Sewaktu arwah meninggal, kau tak pernah datang melawat. Bila perkara begini berlaku, macam kau jadi hero.
“Keluarga saya diajar untuk tidak mengambil hak orang lain. Walaupun kami bersama-sama bekerja di dalam industri, saya tak pernah ambil duit dia.
“Saya bersumpah dengan nama Allah, kalau saya bohong, cabutlah nyawa saya. Saya lagi rela mati daripada ibu saya dihina sebegini.
“Harapan saya kepada semua, maafkan kami sekiranya terkasar bahasa. Saya juga maafkan semua. Janganlah dihina dan dikeji keluarga kami.
“Saya naik bukan kerana diri saya, tapi kerana Allah dan anda yang mengangkat kami adik beradik. Kalau dah tak perlukan saya, saya rela undur diri dari industri untuk jaga mak saya.
“Biar kita susah, jangan kita dihina,” katanya.
Ini penjelasan @aliputeh89, tentang hal pembahagian harta… #RiaX #RiaXpose #aliputeh #aliffsyukriterlajaklaris
Posted by Ria X on Thursday, February 20, 2020
Credit – Thereporter