KETEGANGAN antara pelakon hero terkenal, Aaron Aziz dan pengarah, Syamsul Yusof, baru-baru ini semakin hangat apabila Aaron mendedahkan punca dia digugurkan sebagai pelakon filem arahan Syamsul di dalam satu hantaran video di Instagram, semalam.
“Bila kau nak, kau datang jumpa aku cara baik tapi bila kau tak nak, kau buang aku macam sampah,” antara luahan Aaron yang ditujukan kepada Syamsul.
Tambahnya, Syamsul pernah datang ke rumahnya sebanyak tiga kali tahun lalu untuk menawarkan berlakon dalam filem KL Gangster 3, namun dibatalkan dan ditukar ke tawaran berlakon filem The Original Gangster, lapor Harian Metro.
Syamsul memberitahu Aaron dia tidak akan terlibat dengan babak berlawan tetapi lebih banyak menggunakan pistol.
“Bagaimanapun, ketika sesi latihan, saya dimaklumkan akan terbabit dengan banyak babak pertarungan. Ia membabitkan dengan ramai pelakon lain termasuk bersama 20 orang. Akhirnya saya menjadi pelakon yang paling banyak terbabit dengan babak pertarungan berbanding pelakon lain.
“Pelakon lain cakap saya paling banyak (babak pertarungan) sebab saya pelakon utama,” katanya yang mendakwa Syamsul sedia maklum mengenai masalah kesihatan lehernya akibat slip disc.
Mengulas mengenai dakwaan Syamsul berkaitan peningkatan berat badan, Aaron menjelaskan dia sudah pun menjalani latihan dan membakar 1,000 kalori untuk mendapatkan target berat 90kg yang dikehendaki Syamsul.
Katanya, Syamsul juga memberinya gambar dan meminta dia mendapatkan bentuk badan seperti dalam gambar itu. Aaron menerangkan dia perlu mengambil suntikan jika mahu bentuk badan seperti itu.
“Syamsul kata pergi ambil (suntikan). Saya ikut seperti yang dimahukan walaupun ia (mengambil suntikan) bukanlah mudah,” katanya sambil menunjukkan alat suntikan yang digunakan.
“Allah yang menjadi saksi semua itu, kau (Syamsul) jawablah di Padang Mahsyar nanti,” katanya.
Sumber gambar – The Rakyat Post | Sumber laporan – Harian Metro