Usahawa kosmetik dan selebriti laman sosial Datuk Seri Aliff Syukri sudah ditahan pihak berkuasa semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia mendera anak angkat perempuan berusia dua tahun.
Bagaimanapun menerusi laporan Berita Harian Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan Aliff dibebaskan dengan jaminan polis, pada hari sama sebaik siasatan ke atasnya selesai dijalankan.
“Tangkapan dibuat ke atas Datuk Aliff, semalam.
“Siasatan dijalankan dan dia dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Semalam, Fadzil dalam satu kenyataan, mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita Indonesia yang juga pembantu rumah Aliff, Sabtu lalu.
Sementara itu, Aliff didakwa pembantu rumahnya mendera anak angkat perempuanya yang berusia dua tahun Jumaat lalu.
Dalam beberapa perkongsian yang tular sebelum ini, pembantu rumahnya turut menjelaskan kanak-kanak itu dipukul dan dicubit kerana menangis sewaktu Aliff cuba merakam untuk tujuan publisiti.
Malah pembantu rumahnya turut mendakwa Aliff turut memanggilnya masuk ke dalam bilik kasut bersama anak angkatnya itu selain menyuruhnya memukul kanak-kanak terbabit, namun dia tidak menuruti arahan itu kerana bimbang kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan.