Namanya cukup dikenali pada era 1990-an. Menyebut nama Leina Hangat pasti ramai yang mengenali penyanyi ini yang bukan sahaja lincah di atas pentas tetapi juga sebagai antara artis yang cukup kontroversi ketika itu.
Walaupun sudah berumur 47 tahun kini, Leina yang sudah hampir 10 tahun mengenakan tudung, ternyata tidak pernah dilupakan peminat.
Malah sehingga kini juga dia masih dipanggil dengan nama Leina Hangat walaupun nama sebenarnya Nor Azlina Abdul Rahman.
Ditanya The News Malaysia ketika bertemu di majlis perlancaran fesyen Munawwareen baru-baru ini kata Leina, dia sendiri sebenarnya malu untuk membawakan nama “Hangat” yang sebelum ini cukup sinonim dengan dirinya.
“Jujurnya memang saya malu nak kenalkan nama sebagai Leina Hangat. Bila memperkenalkan diri dengan nama sebenar ketika buat panggil memang rata-rata tidak mengenali siapa saya. Bila sebut sahaja Leina Hangat baru kenal siapa.
“Kadang saya tahu orang diluar sana turut memperkotak katikan nama itu dengan panggilan Leina suam-suam kuku, Hangit dan sebagainya.
“Tetapi bagi saya tidak kisahlah apa juga panggilan sebab tidak lagi penting,” katanya.
Sementara itu terkenal sebagai ratu kontroversi suatu masa dahulu. Jelas Leina dia sentiasa yakin kesilapan dahulu membawa kepada dirinya kini. Jelasnya dia tidak menyesal kerana yakin itu adalah ujian buat dirinya.
“Bila Google balik nama sendiri memang tertanya kembali apalah saya fikir ketika itu. Tetapi saya yakin melalui ujian-ujian itu memberi sebab saya untuk berubah kini,” katanya.