Kerajaan Dedah MoU Pembangkang

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan mendedahkan draf Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penolakan Perikatan Nasional (PN) terhadap MoU berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, MoU tersebut adalah satu usaha untuk mewujudkan suasana aman dan harmoni di dalam Parlimen, di mana Ahli Parlimen termasuk daripada pihak pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.

“Niat Kerajaan Madani adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua Ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif,” katanya.

Fadillah menjelaskan bahawa MoU tersebut bertujuan untuk memastikan semua tenaga dan fokus dapat diarahkan kepada pemulihan ekonomi negara serta pengukuhan perpaduan rakyat.

Menurutnya, dokumen perjanjian tersebut menggambarkan hasrat kerajaan untuk melibatkan pembangkang secara lebih bertanggungjawab dan seimbang dalam melaksanakan tugas sebagai komponen penting dalam sistem demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, draf MoU tersebut menyentuh beberapa aspek penting yang perlu difahami oleh kedua-dua belah pihak, antaranya adalah tempoh kuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.

Selain itu, katanya, ia menggariskan obligasi pihak pembangkang yang diharapkan untuk bertindak sebagai ‘pembangkang berwibawa’ yang patuh kepada Perlembagaan Persekutuan serta memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang sah dan bertanggungjawab.

“Ahli Parlimen Pembangkang perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina,” ujarnya.

Selain itu, Fadillah turut mengakui peranan penting pembangkang dalam menunjukkan kesetiaan kepada negara dan bertindak dengan adil dalam melaksanakan tugas mereka.

Katanya, salah satu perkara utama yang dibentangkan dalam MoU tersebut ialah ketelusan dan ia tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan yang membolehkan semua pihak termasuk rakyat untuk melihat dan menilai isi kandungannya secara terbuka.

“Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali,” tambahnya.

Turut dilampirkan bersama dalam kenyataan adalah dua draf MoU 10 muka surat oleh kerajaan kepada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional.