Refleksi dari London: Membentuk Hubungan Dua Hala dengan Lebih Aktif, Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah.

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur: Lawatan kerja yang lama dinantikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK) memberi nafas baharu kepada hubungan dua hala Malaysia-UK.

Lawatan berkenaan berlaku selepas perubahan politik di UK, dengan kembalinya Parti Buruh ke tampuk pemerintahan selepas 15 tahun.Lawatan kerja itu juga bakal membuka jalan bagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan strategik yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah berkata, lawatan rasmi selama empat hari itu jelas memberi suntikan semangat untuk meremajakan hubungan lama antara Malaysia dan UK. Ujarnya, kedua-dua negara menyedari kepentingan interaksi peringkat tinggi dan menekankan hasrat kerjasama bagi bidang-bidang utama seperti perdagangan, pelaburan dan teknologi.

Katanya, UK tetap komited untuk mengukuhkan kehadirannya di Asia-Pasifik biarpun menghadapi cabaran seperti Brexit dan pemotongan besar-besaran dalam bajet luar negara dan pertahanan. “Keinginan ini dapat dilihat melalui kecondongan Indo-Pasifiknya, yang telah digariskan sebagai tonggak tetap dasar luar UK.

Kemasukan UK sebagai Rakan Dialog ke-11 ASEAN turut mengukuhkan kepentingan strategiknya di rantau ini, mencerminkan pengiktirafan ASEAN terhadap sumbangan UK,” kata beliau dalam satu kenyataan. Selain itu, beliau memberitahu salah satu perkembangan yang paling signifikan dalam dasar luar UK adalah penyertaan negara itu dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada Disember 2024.

Tuturnya, perjanjian itu menandakan langkah penting untuk memperluas akses UK kepada pasaran di luar Eropah, terutamanya selepas pemisahannya daripada Kesatuan Eropah. “Sebagai negara pertama di luar kawasan Pasifik yang menyertai CPTPP, keahlian UK membuka peluang baharu bagi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

Walaupun kedua-dua negara berkongsi perjanjian pertahanan yang sama melalui Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA), dasar keselamatan secara keseluruhannya berbeza, terutamanya dalam hal penjajaran dengan Amerika Syarikat. “Ini menimbulkan persoalan penting mengenai peranan UK di rantau Asia-Pasifik, lebih-lebih lagi dengan ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan China,” ujarnya lanjut.

Mohd Faiz menjelaskan, walaupun terdapat perbezaan, Malaysia membayangkan Asia-Pasifik yang inklusif dan UK mempunyai peranan penting dalam merealisasikan visi berkenaan. Tegasnya, jika kedua-dua negara dapat menguruskan perbezaan strategik mereka dengan bijaksana, potensi manfaat ekonomi dan geopolitik bersama adalah besar.

Dalam bidang ekonomi, terdapat peluang kerjasama yang signifikan terutama bagi pembuatan maju, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi digital. “Rancangan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 dan inisiatif Invest 2035 UK menawarkan strategi saling melengkapi untuk pertumbuhan dan kedua-dua negara harus memberi tumpuan kepada penyelarasan usaha mereka dalam bidang-bidang utama ini,” katanya.

Tambah beliau, satu lagi bidang yang menjanjikan untuk kerjasama adalah dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI). Ujarnya, dengan pelancaran Pelan Tindakan Peluang AI UK yang terbaharu dan Pejabat AI Negara Malaysia, kedua-dua negara berpotensi besar untuk bekerjasama dalam penyelidikan, pembangunan, dan rangka kerja pengawalseliaan AI.

Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, kedua negara dapat memastikan pembangunan teknologi AI yang selamat dan transformatif.

“Usaha gigih dan komited berterusan memberikan potensi yang besar untuk mewujudkan perkongsian berpanjangan sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” tuturnya.