KOTA KINABALU: Penjawat awam perlu memberi keutamaan kepada golongan rentan untuk mendapatkan perkhidmatan efisien.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata ketika melakukan lawatan mengejut ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sabah.
“Hasil lawatan yang dibuat, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian serius terutamanya yang melibatkan kepuasan pelanggan seperti isu sistem kaunter JIM tergendala terlalu lama yang mengakibatkan pengguna terpaksa menunggu.
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KSU KDN) yang turut bersama saya tadi untuk mengambil tindakan segera mengenai isu ini.
“Saya juga meminta KSU KDN untuk melihat semula struktur organisasi perjawatan dan mencadangkan penstrukturan semula perjawatan di JIM bagi memberi keutamaan kepada perkhidmatan yang lebih cekap
“Memberi keutamaan kepada ibu mengandung, warga emas, OKU dan juga yang membawa anak kecil terutamanya bawah 2 tahun bagi mempercepatkan proses pendaftaran. Perkara ini telah saya maklumkan kepada Pengarah JPN Negeri Sabah,” kongsinya di Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, ujarnya tinjauan mengejutnya bukanlah untuk mencari salah sesiapa tetapi beliau mahu melihat sendiri operasi harian serta memantau kesiapsiagaan di kaunter dalam menyampaikan perkhidmatan.
“Pastinya saya rakamkan setinggi penghargaan buat petugas-petugas yang berkhidmat dengan penuh kesungguhan dan integriti.
“Saya juga memberikan peringatan agar semua petugas di pintu masuk ini agar jangan sekali-kali terjebak dalam kancah rasuah dan juga jenayah penyeludupan. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan isu integriti dan jenayah seperti ini,” katanya.
Shamsul turut berharap agar Reformasi Perkhidmatan Awam yang sedang dilaksanakan itu akan memartabatkan kebajikan penjawat awam menerusi produktiviti dan perkhidmatan yang diberi kepada rakyat.