USAHAWAN kosmetik yang menjadi buruan polis, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat kini berada di Bangkok selain memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kad UNHCR itu telah dikeluarkan pihak UNHCR di Bangkok.
Difahamkan, Sajat yang memiliki kad bernombor 815-21C00071 itu juga kini dalam permohonan untuk ke negara ketiga bagi mendapatkan perlindungan.
Setakat ini katanya, pihak imigresen telah membatalkan pasport antarabangsa miliknya.
“Beliau kini sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga bagi membantunya berpindah ke negara terbabit.
“Nur Sajat juga menukar nama samarannya kepada Bella namun dirinya tetap orang yang sama,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.
Dalam sidang media sama, Abd Jalil menjelaskan, kes yang terpalit terhadapnya hanya melibatkan kesalahan menghalang tugas penjawat awam dan dinasihat untuk pulang.
“Polis akan meneruskan proses membawa pulang Sajat kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.
“Permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat namun bergantung kepada negara berkenaan sama ada akan memenuhi permintaan kita atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, polis turut mengharapkan kerjasama daripada pihak keluarga Sajat agar turut sama membantu dalam proses untuk membawanya pulang bagi menyelesaikan pertuduhan di mahkamah.