PELAKON terkenal Indonesia, Nia Ramadhani menangis teresak-esak ketika hadir pada sebuah sidang media tentang penangkapannya dan suami selepas didapati mengambil dadah jenis syabu.
Nia, 31, yang popular dengan watak Bawang Merah dalam sinetron Bawang Merah Bawang Putih ditahan polis Indonesia bersama pemandu peribadinya dengan syabu seberat 0.78 gram turut ditemui, lapor Kosmo.
“Saya dengan rendah diri mohon maaf kepada semua ahli keluarga dan mereka yang menyayangi saya.
“Apa yang saya lakukan bukan perbuatan terpuji dan saya sepatutnya memberi contoh lebih baik terutama buat anak-anak saya,” kata Nia sambil menangis di hadapan media.
Suaminya, Ardiansyah Bakrie turut menyerah diri sejurus Nia ditahan polis dan mengakui sudah lama menghisap syabu secara haram di kediaman mereka.
Mereka didakwa melanggar Pasal 127 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 bahagian Narkotik, dengan hukuman maksimum empat tahun penjara.
Terdahulu, Nia Ramadhani mengaku mengambil dadah jenis methamphetamine atau syabu sejak lima bulan lalu bersama suaminya.
Perkara berkenaan diakui sendiri pasangan itu kepada pihak polis ketika ditahan di Balai Polis Metro Jakarta Pusat pada 7 Julai lalu.
Sumber: Kosmo