YonnyBoii bawa ‘nasi lemak dan sate’ ke peringkat antarabangsa, terpilih nyanyikan runut bunyi filem Disney

EMPAT penyanyi dan komposer muda daripada sekitar Asia Tenggara mengharumkan nama negara masing-masing apabila terpilih untuk berkolaborasi melalui lagu Trust Again (Percaya Lagi) sejajar dengan pelancaran filem Disney berjudul Raya dan Naga Terakhir (Raya And The Last Dragon), dan untuk meraikan filem Walt Disney Animation Studios yang pertama berinspirasikan budaya Asia Tenggara

Lebih membanggakan, antara salah satu penyanyi dalam lagu tersebut merupakan wakil Malaysia iaitu YonnyBoii. Yonny turut disertai penyanyi terkenal Indonesia iaitu Raisa, Matthaios dari Filipina serta Sprite dari Thailand.

Penghasilan Trust Again mendapat inspirasi dari negeri fantasi Kumandra dan pengembaraan Raya, puteri pendekar pertama Disney yang mempersonifikasikan semangat pelbagai negara Asia Tenggara. Kerjasama muzik gabungan beberapa negara ini adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini dan memegang tunggak penting dalam komitmen Disney untuk bekerjasama bersama bakat tempatan dalam membawa kandungan hiburan yang berkualiti kepada penonton di Asia Tenggara.

YonnyBoii harumkan nama negara apabila terpilih menyanyikan runut bunyi bagi filem terbitan Walt Disney Animation Studios.

Lagu ini turut meraikan berbilang budaya yang membentuk rantau Asia Tenggara. Mendengar vokal Raisa yang mempesona dalam korus yang menarik serta-merta anda akan mendapat gambaran tentang keindahan budaya Asia Tenggara – Yonnyboii menggabungkan hidangan istimewa seperti “sate dan nasi lemak” dalam baris rangkap pertama. 

Rangkap Matthaios dalam Tagalog “Aku sekutumu seperti Arnis”, Arnis merujuk kepada senjata Filipina kuno yang digunakan oleh Raya dan dalam rangkap terakhir Sprite yang penuh emosi, dia menyebut “Tuk Tuk”, pengangkutan yang popular di Thailand dan juga merupakan salah satu watak dalam filem tersebut.

Lebih menarik lagi, lagu ini juga mengandungi alat muzik etnik Asia Tenggara seperti seruling, perkusi etnik, bungkau atau hap rahang, angklung, alat muzik tradisional dari Thailand, gamelan dan suling sunda. 

Proses mastering pula dibuat oleh Jurutera Mastering yang pernah memenangi Anugerah Grammy, Chris Athens, dan ia pastinya merupakan satu formula untuk pemerkasaan yang ampuh, selain berkisar pada tema kepercayaan yang universal. 

Lagu ini akan dilancarkan bersama-sama dengan video lirik pada 12 Mac 2021, diikuti dengan video muzik yang menampilkan keempat-empat artis pada akhir bulan Mac 2021.