Akhmal Nazri lega, tanggapan ‘saham jatuh’ lepas kahwin terbukti salah

PELAKON dan pengacara, Akhmal Nazri mengakui selepas bernikah dengan isterinya Alyssa Joanne Januari lalu, rezekinya dalam bidang seni mencurah-curah tanpa disangka.

Pelbagai tawaran pengacaraan diterimanya meskipun negara dilanda pandemik Covid 19 yang menyebabkan kelembapan ekonomi.

Akhmal akui rezeki semakin mencurah dalam bidang pengacaraan.

“Syukur Alhamdulilah, pelbagai tawaran saya terima terutama menjadi hos TV di stesen TV kerajaan mahupun swasta.

“Pada mulanya, saya ada rasa bimbang, jika bernikah awal ini boleh menyebabkan ‘saham’ saya merundum dan sebagainya’

“Namun dakwaan saya itu nyata kurang tepat kerana rezeki yang diberikan Allah itu tidak salah alamat dan saya amat bersyukur tidak terhingga,” katanya kepada Portal The News.

Dalam perkembangan lain, Akhmal juga bakal membintangi drama terbaharu berjudul Ratu Tenpin di bawah produksi Sheila Rusly untuk stesen TV swasta.

“Dalam waktu terdekat saya akan kembali ke set lakonan drama tersebut yang turut dibintangi Nazim Othman dan Elisya Sandha,” jelasnya.