Tonton konsert secara ‘haram’, Jimin BTS beri respon sebaliknya pada ARMY

KUMPULAN terkenal Korea Selatan, BTS baru sahaja selesai meraikan ulang tahun ke-8 bersama peminat, ARMY pada 13 Jun lalu. Apa yang menarik, sambutan tahun ke-8 dengan tema “Mikrokosmos” itu dimeriahkan lagi dengan konsert secara talian selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 Jun lalu.

Difahamkan, konsert itu dilakukan secara berbayar dan harga bagi tiket untuk mengakses ke konsert Muster Sowoozoo itu adalah sekitar 90,000 won (RM340). Namun, baru-baru ini seorang ARMY telah mengakui bahawa dia telah menonton konsert tersebut melalui pautan yang didapati secara illegal (tidak sah).

Pengakuan itu dikongsi oleh seorang peminat BTS melalui aplikasi Weverse, sebuah platform komuniti khas untuk peminat berkomunikasi bersama artis daripada agensi induk BTS, HYBE LABELS.

“Saya rasa seperti saya orang yang jahat. Ini kerana saya menonton konsert Soowoozoo secara illegal dan saya terasa seperti mengkhianati kepercayaan kalian (BTS)”, jelas peminat berkenaan.

Menurutnya lagi, “Namun, saya tidak mempunyai banyak duit dan mahu terlepas saat ini tetapi sekarang saya rasa benci pada diri sendiri pula sebab menonton secara tidak sah. Saya sangat sayang pada kalian (BTS) dan sila berehat dengan baik”.

Perkongsian yang telah di auto-translate dari Weverse

Tanpa diduga, Jimin BTS telah membaca perkongsian tersebut dan membalas, “Semuanya baik-baik sahaja. Tolong jangan membenci diri sendiri (hanya kerana hal tersebut). Walau apa pun alasan dan cara, kami (BTS) tetap sayang kamu”.

Komen Jimin ini telah menarik perhatian bukan sahaja dari ARMY sendiri, malah peminat K-Pop secara umumnya kerana tidak peduli dari cara bagaimanapun mereka menonton konsert sama ada secara berbayar atau melalui pautan yang tidak sah.

Dalam pada itu, konsert BTS Muster Sowoozoo telah ditonton oleh lebih 11 juta orang dan lagu terbaru BTS “Butter” masih berada di kedudukan pertama dalam carta Billboard top 100 selama tiga minggu berturut-turut.