KUALA LUMPUR, 23 Disember 2024 – ICON Entertainment dengan bangga mengumumkan bahawa tiket untuk konsert GENKRU hari kedua telah habis dijual dalam masa hanya 45 minit, mencipta satu lagi detik bersejarah bagi peminat setia trio legenda, KRU.
Menurut Iman Tang, pengasas ICON Entertainment, “Kami amat terharu dengan sambutan luar biasa ini. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa 1 jam, dan kini tiket hari kedua pula habis dalam masa 45 minit. Ini adalah bukti kasih sayang dan sokongan luar biasa daripada peminat kepada IKON trio negara kita. Saya, mewakili ICON Entertainment dan KRU, berasa sangat terharu dan ‘speechless.’”
Beliau turut menambah, “Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GENKRU yang berjaya mendapatkan tiket untuk hari pertama dan kedua dapat menikmati pengalaman konsert yang luar biasa dan memuaskan pada kedua-dua hari nanti.”
Konsert hari kedua diumumkan sebagai respons kepada permintaan tinggi daripada peminat. Ia akan berlangsung pada 4 Mei 2025, sehari selepas konsert hari pertama yang dijadualkan pada 3 Mei 2025, bertempat di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Adakah konsert untuk hari ketiga akan diumumkan? Dengan masih ramai peminat yang belum berjaya mendapatkan tiket untuk hari kedua, ramai berharap ICON Entertainment akan mempertimbangkan tambahan satu hari lagi. Mari sama-sama kita nantikan!