Tak puas hati, Jinwoon 2AM ‘sound’ peminat yang sibuk hal peribadi!

TERBARU, penyanyi dan pelakon Korea Selatan Jinwoon 2AM membalas komen netizen dan memberi amaran kepada netizen Korea yang memakinya kerana sudah tidak menjalinkan hubungan cinta bersama bekas anggota 9MUSES, Kyungri.

Ini gara-gara, Jinwoon memuat naik gambar terbaru di Instagram dan menunjukkan pesonanya yang semakin ceria dan bahagia.

Walau bagaimanapun, ada segelintir daripada pengikutnya meninggalkan komen jahat yang berbunyi, “kamu baru sahaja putus dengan kekasih 4 tahun yang sanggup menunggu kamu pulang dari latihan ketenteraan. berani betul kamu muat naik gambar kamu tersenyum bahagia seperti ini! aku nak tahu, apakah kau dah hilang hati nurani dan sikap sopanmu!”.

Namun, Jinwoon tidak berdiam diri dan membalas, “Saya tak kenal awak siapa tapi hello. Ini adalah ruang/platform saya berkomunikasi untuk pekerjaan saya. Jika awak nak mengatakan sesuatu yang peribadi, tolong beritahu saya secara langsung (peribadi) juga”.

“…jika awak nak cakap sesuatu yang awak tak tahu, sebaiknya awak diam sahaja”, ujarnya di ruangan komen.

Sebelum ini, Jinwoon dan Kyungri telah memutuskan untuk berpisah setelah sekian lama bercinta. Kedua selebriti Korea Selatan tersebut juga telah memaklumkan perpisahan mereka pada ramai pihak termasuk media pada awal bulan ini.

Alasan perpisahan adalah kerana jadual penggambaran yang padat, memandangkan mereka berdua juga adalah pelakon.

Dalam pada itu, Jinwoon juga dikhabarkan akan menjadi pelakon utama dalam filem seram komik iaitu Can You Only See Me yang bakal ditayangkan dalam masa terdekat. Ini juga merupakan kerja pertama yang dilakukan semula olehnya selepas keluar dari latihan ketenteraan dan pastinya peminat tidak sabar dengan kemunculannya lagi!