Siti Saleha sah bercerai dengan suami

AKTRES Siti Saleha, sah bercerai dengan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, 36, dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, hari ini.

Siti Saleha, 32, menjelaskan perceraian itu berlaku secara baik.

Malah dia reda dengan ketentuan jodohnya bersama bekas suami hanya bertahan selama empat tahun, lapor Harian Metro.

“Okay, untuk hari ini, kami sudah bercerai secara baik. Jodoh kami tidak panjang, sampai di sini sahaja. Itu sajalah saya nak cakap. Selebihnya, saya tak nak ulas apa-apa,” katanya kepada Harian Metro.

Siti Saleha juga enggan mengulas lanjut mengenai butiran berkenaan prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang.

“Kami tiada persefahaman, itu sahaja… Terima kasih,” jelasnya.

Terdahulu, pada 13 Oktober tahun lalu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap Ahmad Lutfi.

Siti Saleha dilaporkan berkata, ia dilakukan atas kebenaran mahkamah.

Kali terakhir pelakon itu memuat naik gambar bersama suami pada 24 Mac tahun lalu.

Perkongsian itu dibuat sempena meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Ahmad Lutfi yang ke-35.

Mereka melangsungkan pernikahan pada 28 Julai 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sumber: Harian Metro