Shuk Sahar berharap masih ada tawaran berlakon buatnya, rindu industri seni

PENGACARA dan pelawak selebriti, Shuk Sahar masih berharap penerbit drama dan filem tempatan dapat memberi dia peluang untuk kembali aktif dalam industri seni. 

Kata Shuk kepada Utusan, walaupun kini dia sibuk berniaga untuk meneruskan hidup, dia tetap merindukan bidang lakonan dan berharap agar dia diberikan peluang untuk kembali dalam bidang tersebut.

“Buat masa ini saya berniaga untuk kelangsungan hidup. Tapi jujur saya memang rindu nak berlakon kerana sudah dua tahun saya tinggalkan dunia itu.

“Baru-baru ini ada sahaja tawaran, tetapi bertindih pula dengan acara di Singapura. Jadi, terpaksa saya tolak.

“Kalau ada peluang berlakon, memang saya nak. Saya betul-betul mengharap,” luahnya kepada Utusan Malaysia.

Selepas dihimpit pelbagai kontroversi yang telah membabitkan rumah tangga dan keluarganya, Shuk seakan menghilang dari dunia lakonan hampir dua tahun,

Situasi itu menjadi semakin hangat apabila dia terpalit dengan kontroversi bersama pelakon Fauzi Nawawi, yang membuat pendedahan dalam program Rumah 107 beberapa tahun lalu tentang babak rogol bersama pelakon Raja Farah.

Tambahnya, dia berharap isu itu selesai dan meminta semua agar tidak terus menghukum dan memulaukannya dalam industri itu.

“Isu itu kelihatannya sudah selesai. Jadi, bagi penerbit yang masih ingat saya, saya ingin maklumkan, saya benar-benar mahu kembali berlakon.

“Diharapkan peluang masih ada untuk saya,” tambahnya.

Sumber gambar – The Star | Sumber laporan – Utusan