Setahun menyepi, Ara Johari kembali dengan Tetap Aku Cinta

SETELAH menyepi hampir setahun, Ara Johari kini muncul dengan single terbaru berjudul Tetap Aku Cinta.

Penyanyi genit bersuara lantang, Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih terkenal dengan nama pentasnya Ara Johari ini berkata selama tempoh dirinya menyepi, dia sebenarnya sedang mengambil masa untuk mencari idea yang sesuai sebelum melancarkan single seterusnya.

“Ara sebenarnya tak menghilang dan masih lagi aktif menyanyi. Alhamdulillah kini Ara bersedia membuat comeback dengan single terbaru yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat di luar sana dan segala rangka promosi yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan,” katanya kepada The news.

Tetap Aku Cinta menceritakan tentang cinta terhadap seseorang yang dikasihi dan lagu yang bergenre balada rock moden ini dicipta oleh komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Amy Bong dan Furhan, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

Menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bunga, antara cabaran terbesar sepanjang bergelar anak seni penerimaan lagu yang bakal dikeluarkan kerana kita tak dapat memuaskan halwa telinga semua orang.

Tambahnya, “Pandangan umum juga berbeza, kalau dulu sebelum bergelar penyanyi tak siapa yang kenal, kini setiap gerak-geri kita diperhatikan, kadangkala tingkah laku kita disalah ertikan dan menjadi buah mulut orang, namun Ara percaya jika kita jujur dalam melakukan sesuatu, ia pasti berhasil”.

Ara Johari juga berharap agar lagu ini berjaya menarik minat pendengar di luar sana dan mengubati kerinduan kepada peminatnya.