Masalah kesihatan saya terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum… – Eina Azman mohon maaf

SELEPAS dilanda kontroversi ‘potong barisan’ dan mendapat layanan istimewa bagi suntikan vaksin di sebuah Hospital Bainun, Ipoh, Datin Paduka Eina Azman akhirnya buka buka mulut menjelaskan perkara sebenar.

Melalui perkongsian di Instagram, pemilik nama sebenar Ainur Syakina Azman, 26, berkata, dia dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Perkongsian Eina Azman di Instagram.

“Saya memohon maaf andai kata perkongsian saya di media sosial menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah pihak. Saya tidak bermaksud untuk menyinggung sensitiviti sesiapa apatah lagi ketika isu vaksin menjadi perbualan hangat”, katanya.

Jelasnya lagi, “…pihak berwajib juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Saya sendiri mempunyai masalah kesihatan namun terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum dan hanya untuk pengetahuan keluarga saja”.

Ujar ibu kepada Arianna Aubrey dan Karl Kareef itu, masalah kesihatannya adalah terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada orang ramai.

Menurutnya, tindakan memadam gambar daripada Instagram adalah lantaran tidak mahu merumitkan lagi keadaan.

“Justeru itu, saya memadam posting daripada paparan di Instagram bagi mengelakkan isu ini daripada bertambah rumit”.

Eina sekali lagi berkata, “Dengan rasa rendah diri, saya sekali lagi memohon maaf sekiranya video dan gambar yang dimuat naik menimbulkan salah faham🙏🏻🙏🏻🙏🏻”

Terdahulu, ramai pihak yang mendakwa Eina dan suami, menggunakan jalan pintas bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin di sebuah hospital di Ipoh, Perak.

Namun, pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun telah mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan Eina dan suami menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital itu pada 25 Mei atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka.