“Jangan perkotak-katikkan hal pemakaian. Kalau orang lain tak boleh tegur, siapa lagi?” -Jaafar Onn tegur soal pemakaian kain warna kulit

SEBELUM ini, nama penyanyi Nabila Razali menjadi bualan ramai apabila dia dikatakan seksi dalam mengenakan pakaian warna kulit di bahagian dada sehingga membuatkan ramai pihak kurang senang kerana tidak sesuai dengan imej bertudung.

Sehubungan itu, mengulas hal tersebut, selebriti terkenal, Jaafar Onn menegur segelintir pereka fesyen agar peka dengan rekaan untuk artis berhijab bagi mengelakkan salah faham dan tidak menggunakan kain jenis warna kulit.

Katanya ketika dihubungi Harian Metro, “Saya cakap terus-terang dengan artis itu. Dahlah dia pakai turban, tapi caranya pakai warna kulit nampak mengaibkan terutama kepada golongan sebayanya”.

“Bab salah dan dosa, saya kena tegur dan mereka tak boleh nak pertikaikan. Saya bukan nak cari publisiti tapi ini tak sepatutnya berlaku”

Jaafar Onn menjelaskan sebelum ini dia pernah menegur pakaian seorang artis veteran wanita yang memakai turban disebabkan terdedah di bahagian dada dan bahu.

Namun, sebenarnya ia adalah kain berwarna kulit dan pakaian tersebut sangat tidak manis dilihat oleh segelintir pihak.

Ia juga disifatkan sebagai ‘sengaja’ mencari dosa. Bukan setakat itu, malah kebanyakan dari pereka fesyen ini adalah golongan lembut dan mereka mungkin hanya fikir cantik di pandangan mereka dan mahu membuat artis kelihatan seksi walaupun bertudung.

Sumber gambar: Ohmedia

Menurut pelakon 18 Puasa Di Kampong Pisang ini, “Jadi saya minta pereka fesyen, janganlah hasilkan baju guna warna kulit lagi. Zaman nak seksi, nak tunjuk dada, pinggang dengan guna kain warna kulit dah tak perlu lagi”.

Bagi artis pula, mereka akan terus bersetuju tanpa berfikir dahulu tanpa bantahan dan sepatutnya pembantu peribadi atau pegawai perhubungan artis popular hendaklah menolak pakaian yang dirasakan tidak sesuai.

Walaupun Jaafar Onn dilabel sebagai lelaki lembut, beliau boleh dikatakan veteran dalam bidang seni dan merasa ia seperti satu tanggungjawab untuk menegur apa yang sepatutnya.

Tambahnya lagi, “Ingatlah kita dah akhir zaman. Saya tegur kerana umur saya dah begini. Jangan perkotak-katikkan hal pemakaian. Kalau orang lain tak boleh tegur, siapa lagi?”.

“Sebagai artis, saya nampak perkara ini perlu ditegur. Nabila Razali baru habis satu isu, takkan nak timbulkan satu isu lagi?”, ulas Jaafar Onn.

Sementelahan, beliau memohon pereka fesyen agar tidak lagi menghasilkan baju-baju menggunakan warna kulit. Artis juga hendaklah menolak dengan baik demi menjaga imej sebagai wanita bertudung.