Fauzi Nawawi Cari Dalang Sebar Video Lucah

KUALA LUMPUR: “Saya beri peluang, sekiranya berani tampil minta maaf, saya akan ampunkan. Jika berdiam diri, saya akan pastikannya menerima balasan dari segi undang-undang,” demikian luahan pelakon, Fauzi Nawawi selepas membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras, ekoran penyebaran video aksi lucah yang didakwa mirip dirinya sejak Isnin lalu.

BH Online melaporkan, Fauzi, 47, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi berkata, dia kini menyerahkan pada pihak berkuasa bagi mengesan dalang di sebalik penyebaran video mengaibkan itu.

“Saya sudah membuat laporan polis dan kes ini sedang dalam siasatan lanjut. Saya hanya tunggu dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah Kajang untuk memberikan keterangan.

“Mereka sudah ke rumah saya mengambil gambar ketika berita penyebaran ini diterima. Apabila tindakan undang-undang diambil, minta maaf saya tidak boleh tolong apa-apa sekiranya dia memilih untuk berdiam diri,” katanya kepada BH Online.

Bintang filem Munafik itu berkata, tindakan serius perlu diambil kepada pihak terbabit kerana menyiarkan fitnah hingga menjatuhkan maruah orang lain.

“Jika tindakan serius tidak diambil, perkara ini akan berterusan dan akan lebih ramai artis yang akan menerima nasib yang sama,” katanya.

Fauzi yang juga suami kepada pelakon, Lisdawati berkata, salah satu sebab dirinya tekad mengambil tindakan undang-undang berikutan tempias yang turut dirasai oleh keluarganya.

“Apa yang menyedihkan perkara ini bukan hanya membabitkan saya, tetapi keluarga saya. Orang memandang menghina keluarga saya membuatkan mereka merasai tekanan.

“Bukan itu sahaja, laman sosial saya juga dibanjiri mesej lucah. Setiap hari lebih 100 mesej lucah diterima, ada yang ajak keluar, tak kurang juga lelaki yang bertanya orientasi saya. Ada yang meminta video baharu hingga mahu membayar RM10,000.

“Begitu sekali tempias saya kena, macam mana pun saya perlu bersabar. Alhamdulillah, saya mempunyai isteri yang memberikan semangat untuk terus kuat menghadapi isu ini,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Luka Di Hati Diya.

Terdahulu, beberapa versi video aksi onani yang didakwa mirip Fauzi tersebar di laman sosial dan ia bukanlah kali pertama dirinya berdepan penyebaran video.

Sumber : BHarian Online