Home Hiburan Sensasi Fahami keperitan peniaga semasa PKP, Baby Shima turun padang beri sokongan

Fahami keperitan peniaga semasa PKP, Baby Shima turun padang beri sokongan

PENYANYI Baby Shima mengakui dirinya teruja dapat bersama-sama turun padang bagi memberi sokongan kepada para peniaga Program My Best Buy (MBB) selepas hampir 7 bulan tidak beroperasi.

Shima berkata dia amat memahami kepayahan yang dialami para peniaga dalam mencari rezeki buat keluarga semasa Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa kebanyakan aktiviti dihadkan.

“Saya mencari rezeki dengan aktiviti hiburan, manakala mereka (peniaga) pula menyara keluarga dengan berniaga. Namun kedua-dua pekerjaan menerima tempias sama semasa PKP. Jadi saya amat mengerti keperitan yang mereka hadapi demi mencari sesuap nasi dalam tempoh PKP sebelum ini.

“Namun saya bersyukur hari ini dapat bersama-sama pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memberi semangat dan memberi sokongan kepada mereka setelah lama tidak menjalankan aktiviti perniagaan di Program My Best Buy ini.

Program My Best Buy (MBB) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dibuka semula hari ini selepas hampir tujuh bulan tidak beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baby Shima bersama En. Abdul Rashid Bin Bahri, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri berkata pihaknya menerima banyak permintaan daripada petani dan penduduk kawasan sekitar supaya MBB dibuka.

“Mereka sudah tahu setiap hari Jumaat minggu terakhir setiap bulan, mesti FAMA akan buat jualan di sini (Ibu Pejabat FAMA), tidak pernah tidak buat sejak beberapa tahun kita (FAMA) di sini. Ramai bertanyakan melalui media sosial kita, akhirnya selepas masuk Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara) baru kita boleh buka (MBB),” katanya kepada Bernama.

Abdul Rashid berkata MBB bertujuan mengurangkan kos sara hidup penduduk di kawasan bandar selain memberi peluang kepada petani untuk menjual hasil tanaman mereka secara terus kepada pengguna pada harga mampu milik.

Sumber: Bernama

Exit mobile version