Bengang dituduh dijangkiti Covid di Bali, BCL akhirnya dedah punca sebenar

PENYANYI dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari menafikan dirinya dijangkiti Covid-19 selepas pulang bercuti di Bali. 

Melalui sebuah perkongsian di Instagram story, Bunga atau lebih mesra disapa BCL menjelaskan kronologi keberadaannya di Bali pada 29 Mei hingga 2 Jun lalu.

“Perhatian kepada sesiapa yang berkaitan. Pertama, saya ke Bali pada 29 Mei hingga 2 Jun. Kedua, saya sudah melakukan aktiviti dan bekerja di Jakarta mengikut prosedur kesihatan yang ada dan sudah menjalani ujian PCR pada 12 Jun”, tulisnya.

BCL juga turut menjelaskan mengenai beberapa penarinya yang disahkan positif pada 13 Jun.

Katanya melalui posting yang sama, “Beberapa penari saya disahkan positif pada 13 Jun selepas berinteraksi dengan saya pada 10 Jun 2021”.

“Saya sekali lagi menjalani ujian PCR pada 14 Jun 2021 dan disahkan positif”, jelasnya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa dia dijangkiti Covid-19 selepas bercuti di Bali dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang andaian jika tidak tahu hal sebenar.

Terdahulu, BCL berkongsi berita mengenai dirinya yang disahkan positif Covid-19 dalam satu hantaran di Instagram beberapa hari lalu.