Selepas tiga minggu bergelar suami kembali, Issey akui kehidupanya kini berbeza

Hampir tiga minggu bergelar suami, penyampai radio Suria FM, Issey, akui kini kehidupannya berbeza.

Tidak sekadar mempunyai tanggungjawab sebagai suami, apa yang lebih mencabar jelasnya apabila dia juga turut bergelar ayah kepada tiga cahaya mata.

Tidak menolak masih membiasakan diri, namun dia yakin dalam tempoh ini dia dan isterinya Noor Aimi Mohamed Jamil, 32, akan berusaha untuk memastikan perkahwinan ini kekal bahagia.

“Memang banyak yang berbeza dahulu kita solo jadi bila sudah bergelar suami banyak benda yang perlu berjaga-jaga.

“Selain itu juga saya kini adalah ayah kepada tiga orang anak, orang kata tanggungjawab itu lebih besar. Jadi dalam tempoh sekarang masih cuba biasakan diri,”katanya.

Masih berjauhan dengan keluarga barunya. Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin memberitahu buat masa ini dia hanya bertemu dengan isterinya dalam tempoh 2 minggu sekali memandangkan isterinya masih bekerja di Kota Bharu, Kelantan.

“Masih berjauhan sebab isteri saya bekerja di Kota Bharu, selalunya dia akan datang ke Kuala Lumpur atas urusan kerjaa setiap dua minggu sekali. Jadi itulah waktu untuk kami bertemu, kalau tidak saya yang akan pulang ke Kelantan.

“Tidak susahpun sebab bagi saya jika tidak kerana isteri mungkin saya tidak akan pulang ke Kelantan dengan kerap. Selepas ibu saya meninggal, memang tiada siapa di sana.

“Jadi selepas kahwin saya ada alasan untuk pulang selalu,” katanya kepada The News Malaysia sebentar tadi.

Sementara itu ditanya hubungan dengan anak-anak tirinya. Issey akui bukan satu proses yang mudah. Namun buat masa ini semuanya nampak tidak ada masalah untuk dia menjadi ketua buat keluarga baharu itu.

“Saya akui bukan mudah, tetapi semuanya dalam keadaan yang baik buat masa ini, Alhamdulillah,”katanya.