“Sejak bila Nilai dalam Selangor ni?” – Dato Hattan hairan daerah Nilai bertukar milik

ISU pertikaian selebriti sensasi, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) yang tidak didakwa kerana merentas negeri ke Nilai, Negeri Sembilan terus menjadi bahan bualan dan perdebatan netizen.

Rata-rata netizen sudah sedia maklum bahawa Nilai 3 memang terletak dalam Negeri Sembilan. Namun, kini andaian yang mengatakan Nilai telah ‘bertukar milik’ kepada Selangor gara-gara pihak berkuasa tidak mendakwa pasangan berkenaan yang merentas negeri ke negeri tersebut semata-mata untuk membeli karpet.

Penyanyi lagenda negara iaitu Dato Hattan merasa terpanggil mengenai hal bertukar milik tersebut dan memuat naik sebuah video di Instagram miliknya mempersoal tentang pertukaran Nilai di dalam negeri Selangor.

“Assalamualaikum, apo koba? Ini apo pulok dikoba Nilai dalam Selangor ni? Esei ni anak jati negeri sembilan ni woii, esei bpsar di senanti. Seluruh negeri sembilan ni tak ada lah besar bona tapi saya tahu, pemetaan tu tak percaya pergi check dengan JUPEM” ujar Dato hattan sambil santai bernyanyi di awal video.

Seakan hairan sejak bila Nilai bertukar menjadi hak milik Selangor, Dato Hattan turut meminta mereka yang tidak mempercayai bahawa Nilai adalah di bawah naungan Negeri Sembilan, untuk merujuk dengan Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kertas siasatan berhubung dakwaan merentas negeri pasangan selebriti tersebut telah dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara untuk penelitian.