Sam Bunkface ‘Mencari Sinar’ bersama Inteam sempena Ramadan

SELEPAS kolaborasi lagu ‘Jangan Menghina’ yang menggabungkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, kali ini Inteam dan Sam Bunkface pula bekerjasama dalam menghasilkan lagu berjudul ‘Mencari Sinar’.

Lagu yang membawa mesej penghijrahan ini, dilancarkan istimewa bersempena Ramadan iaitu bulan yang sinonim dengan penghijrahan kerana dalam bulan inilah umat Islam lebih bermotivasi untuk berhijrah kepada yang lebih baik.

Mencari Sinar merupakan sebuah karya terakhir ditulis oleh Allahyarham Ahmadi Hassan yang belum pernah dirakam.

Apa yang menarik, ini juga merupakan satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap yang telah ditambah oleh penyanyi Sam Bunkface.

Jika dilirik mesej lagu ‘Mencari Sinar’, ia adalah sebuah lagu yang relevan bagi semua golongan dan peringkat umur dan mampu menarik minat golongan muda.

Selain itu, ‘Mencari Sinar’ sudah mula berada di pasaran platform digital sejak 9 April lalu dan jom layan lagu ini dulu!