Sadis! Dian Sastrowardoyo dedah pernah tertekan sampai nak bunuh diri selepas kehilangan bapa

PELAKON terkenal dari Indonesia, Dian Sastrowardoyo baru-baru ini mendedahkan dirinya pernah tertekan akibat kehilangan bapa tercinta sehingga hampir meragut nyawanya sendiri.

Dian, 39, kehilangan bapanya yang meninggal dunia akibat kanser hati semasa dia masih lagi di sekolah menengah.

Bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 1995 dan beberapa hari sebelum saat duka itu terjadi, ibunya pula berlepas ke luar negara untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Situasi ketika itu disifatkan Dian sebagai amat genting kerana buat seorang remaja yang masih mentah sukar baginya untuk memahami erti kehilangan salah seorang dari orang kesayangan dalam hidupnya.

Lebih memilukan lagi adalah ibu dan ayahnya sudah bercerai, justeru itu juga menyebabkan pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu merasakan tiada apa lagi yang bermakna buatnya di dunia ini.

Katanya, “Saya benar-benar buntu saat itu. Ibu dan ayah sudah lama berpisah ketika saya di sekolah rendah. Jadi, apabila ayah meninggal dunia dan ibu pula sudah ke luar negara menyebabkan fikiran saya bingung”.

“Sebagai anak tunggal, saya benar-benar tertekan saat itu, bimbang tidak tahu ke mana arah tujuan hidup, terdetik dalam hati untuk bunuh diri untuk lari daripada segala kekusutan itu,” kata Dian ketika ditemubual oleh Dewi Sandara dalam program Heart to Heart yang ditayangkan di saluran YouTube.

Namun begitu, akal fikirannya yang waras telah menggerakkan hatinya untuk berfikir sebaliknya dan Dian mula terfikir apakah sanggup membiarkan ibunya sendirian andai kata dia memilih mengakhiri usianya dengan cara sedemikian.

Dek kerana tidak sanggup melihat ibunya sedih apabila pulang ke tanah air, Dian berfikir semula dan merasa bersyukur dia tidak meneruskan niatnya.

Menurutnya lagi, “Saya benar-benar sayangkan ibu saya dan tidak sanggup untuk kehilangan dia atau membiarkan dia kehilangan saya”.

Dia juga turut terinspirasi dengan ibunya kerana kuat menjalankan hidup sebagai ibu tunggal dan sejak kanak-kanak lagi, Dian melihat bagaimana ibunya bekerja keras semata-mata kerana mahu mencari rezeki untuk membesarkannya.

Sehingga kini, Dian bersyukur dengan hidup dan telah berkahwin. Selain itu, Dian juga telah bergelar ibu kepada dua cahaya mata iaitu Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo dan Ishana Ariandra Nariratana Sutowo.