Polis sahkan Sajjad ditahan Imigresen Thailand, miliki pasport palsu

POLIS mengesahkan penahanan melibatkan usahawan kosmetik yang dikenali sebagai Sajjad atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman oleh pihak Imigresen Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, penahanan itu dibuat ekoran Sajjad dikatatakan memiliki pasport yang tidak sah.

“Sajjad telah ditangkap pada 8 September jam lebih kurang 6 petang oleh pihak Imigresen Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.

“Pada 9 September, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan berdepan hukuman denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Abd Jalil, suspek juga ketika ini merupakan individu dikehendaki di Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Siasatan turut melibatkan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bertujuan menakutkan penjawat awam.

Setakat ini, usaha untuk membawa pulang suspek sedang giat dijalankan.

Baru-baru ini, media melaporkan Sajjad sedang giat bersembunyi dan berselindung daripada pihak berkuasa malah ada juga yang menyatakan dia cuba mendapatkan perlindungan di Australia.