Perbezaan gaji pelakon lelaki dan wanita Korea Selatan terungkap, netizen harap pelakon wanita lebih dihargai

SETELAH jumlah bayaran gaji pelakon Kim Soo Hyun untuk dramanya akan datang diketahui orang ramai, kini, perbezaan gaji di antara pelakon lelaki dan wanita pula tular dan menjadi perbualan netizen.

Sebelum ini, Kim Soo Hyun telah mengejutkan pelbagai pihak kerana terdapat sumber yang mendakwa bayaran yang akan diterima untuk drama berjudul ‘That Night’ adalah berjumlah $600,000 atau RM2,475,600 untuk setiap satu episod!

Jumlah ini adalah jaminan minimum dan ia tidak termasuk dengan pendapatan yang akan dihasilkan dari iklan, penjualan hak cipta dan selainnya. Disebabkan hal itu, ia telah menjadi perbincangan di Korea untuk sementara waktu.

Menurut laporan, agak sukar untuk melihat pelakon wanita bertaraf A-list di Korea yang menerima gaji lebih dari $129,000 atau RM532,254 per episod untuk setiap siri drama yang dihasilkan. Ini juga antara jumlah yang jauh lebih rendah daripada gaji rata-rata yang diterima sebahagian pelakon lelaki utama iaitu sekitar $250,000 atau RM 1 juta bagi setiap satu episod.

Antara salah satu alasan utama yang membuatkan orang ramai ‘bengang’ adalah kerana terdapat orang di dalam industri berkenaan adalah biasanya dalam pembikinan sesebuah drama, pelakon utama lelaki lebih menjadi fokus orang ramai jika dibandingkan dengan pelakon utama wanita.

Terdapat juga alasan lain yang membandingkan populariti diraih di antara pelakon lelaki dan wanita di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan Korea Herald, Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) juga mengeluarkan laporan statistik bahawa Korea Selatan mempunyai jurang terbesar diantara lelaki dan wanita iaitu sebanyak 34.1%. Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama bagi negara ginseng tersebut mengambil tempat nombor satu dan kedudukan itu telah kekal sejak 17 tahun terdahulu sejak 2002.

Disebabkan terdapat perbezaan yang ketara, netizen berharap pelakon wanita dapat lebih dihormati dan dihargai sama seperti apa yang diperoleh dari pelakon lelaki.

Sumber: KFM Korea