Pengurus Shuib Jawab Spekulasi Kereta Disita SPRM

SEPERTI yang anda tahu, kini ruangan media sosial penuh dengan puluhan kereta mewah serta motosikal yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan kesemua kereta yang disita berkait rapat dengan siasatan terhadap kes pengubahan wang haram dan sindiket Macam Scam.

Bagaimanapun spekulasi mula timbul apabila warganet mendakwa, ada di antara kereta tersebut didakwa mirip kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik pelawak Shuib Sepahtu.

Pihak pengurusan Shuib, Indigital Music ketika dihubungi Gempak memohon maaf kerana tidak dapat membuat sebarang kenyataan mengenai dakwaan tersebut.

“Minta maaf, kami tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes ini masih dalam siasatan SPRM.

“Bukan tidak mahu mengulas lanjut tetapi kami harap semua faham dengan situasi ini. Betul atau tidak itu kereta Shuib, biarlah orang terus berspekulasi,” kata Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohd Rom.

Terdahulu media melaporkan SPRM telah membeku sebanyak 750 akaun milik seorang ahli sindiket Macau Scam dan Perjudian yang membabitkan nilai RM75 juta.

SPRM turut menyita rumah dan 24 kereta mewah milik lapan individu yang ditahan baru-baru ini di mana lima daripadanya adalah milik seorang individu bergelar datuk.

Antara kenderaan yang disita ialah jenis Bentley, Ford Mustang, Roll Royce, Ferrari, lamborghini, Porche, Nissan GTR dan beberapa buah motosikal berkuasa tinggi.

Beberapa hari ini hangat diperkatakan mengenai sindiket Macau Scam dan perjudian yang menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram.

Sumber: Gempak