Home Hiburan Kontroversi Pemergian Siti Sarah, PM ucap takziah

Pemergian Siti Sarah, PM ucap takziah

PEMERGIAN penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 36 tahun pada awal pagi hari ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi hantarannya di Facebook turut merakamkan ucapan takziah terhadap seluruh keluarga Allahyarham khususnya terhadap suami, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu.

Mengulas lebih lanjut, Perdana Menteri menyifatkan pemergian Siti Sarah sebagai satu kehilangan anak seni yang cukup berbakat buat negara.

“Khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat ini meninggalkan suami, empat anak termasuk seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan. Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih.

“Semoga ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan ini. Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendoakan seluruh rakyat Malaysia agar dilindungi daripada wabak COVID-19 yang banyak meragut nyawa.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi hari ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Muhriz (HCTM) setelah beberapa hari bertarung nyawa.

Perkhabaran itu dimaklumkan suaminya, Shuib menerusi akaun Instagram.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak sekitar jam 1.40 tengah hari.

Exit mobile version