Pelawak legenda Jamali Shadat meninggal dunia

PELAWAK ‘stand up’ legenda, Datuk Jamali Shadat, meninggal dunia, 8.30 pagi, hari ini pada usia 74 tahun.

Perkara ini dimaklumkan oleh cucunya Isyraq Ariff Zalull Ariff, 31, menerusi laporan Harian Metro.

“Doktor sudah mengesahkan datuk sudah tiada. Urusan proses pengebumian akan dimaklumkan kemudian,” katanya. 

Terdahulu, keadaan Jamali uzur apabila tidak mampu berjalan dan kurang selera makan.

Jamali amat terkesan dengan kematian isterinya, Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, sehingga membuatkan dia kemurungan.

Allahyarham isterinya meninggal pada hari pertama Syawal selepas sebulan terlantar di hospital. 

Sebelum itu, Jamali diserang angin ahmar dan dijaga oleh isterinya sehingga pulih. 

“Arwah nenek buat rumah di Pulau Indah, Klang ini dan rancang nak tinggal dengan datuk.

“Apabila rumah siap, nenek meninggal dan hanya jasadnya dibawa balik ke situ,” ujarnya. 

Apa yang berlaku membuatkan Jamali amat terkesan kerana segala jadual aktiviti seni dan kehidupannya sebelum ini diuruskan oleh isterinya.

“Selepas itu… dia macam termenung dan khayal. Rumahnya bersebelahan dengan rumah bapa saudara saya, Fauzi dan mereka menjaganya,” tambah Isyraq. 

Jamali merupakan anak kelahiran Bukit Kapar, Klang, Selangor serta mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.

Sumber: harian metro