One Love Music Festival Dibatalkan Saat Akhir

KUALA LUMPUR: One Love Music Festival yang sepatutnya berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini, terpaksa dibatalkan akibat kekurangan dana untuk menampung kos penganjuran.

Penganjur acara, Pengasas Tuff KL, Muhammad Zul Aqil, menerusi sebuah hantaran di laman instagram berkata pembatalan pada saat akhir terpaksa dibuat selepas menimbang pelbagai cabaran yang dihadapi syarikat.

“Kami ingin menegaskan bahawa pembatalan acara ini tidak membabitkan mana-mana rakan strategik, penaja atau vendor.

“Tuff KL mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan ini dan komited untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan.

“Kami faham kekecewaan peminat yang menantikan festival ini dan ingin memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Kami sedang urus proses berkaitan pembatalan termasuk pemulangan dana kepada pembeli tiket.

“Maklumat lanjut akan diumumkan melalui saluran rasmi kami, @olmfest_ dalam masa terdekat,” katanya kenyataan.

Antara penghibur yang dijadual beraksi pada One Love Music Festival termasuk Bunkface, Kugiran Masdo, Hujan, Insomniacks dan bintang popular dari Indonesia, Nadhif Basalamah.


Isu Pembatalan Konsert Perlu Ditangani dengan Serius

Terlihat dalam laporan berita, sebuah media sosial info konser Indonesia turut mengulas insiden ini dengan memuat naik IG Story artis Indonesia yang telah tiba di Malaysia sebelum pembatalan diumumkan.

Kejadian seperti ini sedikit sebanyak mencalarkan imej Malaysia dalam penganjuran konsert. Walaupun penganjuran acara semakin marak di negara ini, yang mana ia baik untuk ekonomi, kehadiran penganjur baharu tanpa pengalaman boleh merosakkan reputasi negara, terutama apabila melibatkan artis antarabangsa.

Terdapat banyak penganjur baharu yang tiada pengalaman langsung dalam bidang ini. Malah, syarikat katering, restoran, pembinaan, dan pelaburan juga dilihat cuba menceburi bidang penganjuran tanpa persiapan yang memadai.

Semoga kejadian seperti ini tidak berulang. Kejayaan sebuah konsert bukan semata-mata bergantung kepada penjualan tiket, tetapi juga kepuasan penonton. Penonton yang sanggup membayar tiket mahal untuk melihat idola mereka layak mendapatkan pengalaman yang terbaik. Oleh itu, penganjur perlu mengutamakan kenyamanan dan kepuasan mereka.