Nora sudah dilamar, umum bakal siapkan majlis

JIKA sebelum ini penyanyi Datuk Nora Ariffin pernah dikaitkan berkahwin dengan seorang ahli politik, terbaharu, dia mendedahkan dirinya sudah pun dilamar seseorang untuk menjadi teman hidup.

Menerusi laporan Astro Awani, penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu bagaimanapun menjelaskan menerima lamaran pernikahan berkenaan daripada individu lain

Nora yang berkongsi kisah lamaran itu bagaimanapun berkata, lelaki yang sudah melamar dirinya bukanlah dari kalangan personaliti terkenal.

“Selepas di fikir dengan teliti, rasanya sudah sampai masa untuk saya membuat pengumuman bahawa memang ada menerima lamaran daripada seseorang. Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia itu dengan anda semua tidak lama lagi,” katanya.

Nora yang juga balu komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi sebelum ini pernah tampil menepis dakwaan dirinya dikata sudah bernikah dengan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Selatan Thailand.

Ia berikutan tular di media sosial mengenai sekeping salinan sijil pernikahan yang didakwa milik mereka.

Jelasnya, “Demi Allah, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak pernah bernikah, dan saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh membuat tuduhan sebegini”.

Selain itu, selain kedua pihak termasuk pihak Tan Sri sudah menafikannya, masih ada lagi pihak yang tidak mempercayainya.

Dalam pada itu, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin memaklumkan, dia kini sudah bersedia untuk berkahwin baharu selepas berfikir semasak-masaknya dan paling penting, hubungan itu direstui anak-anaknya.

“Saya fikir sudah sampai masa untuk mengumumkan bahawa saya memang ada menerima lamaran pernikahan dan kini dalam perancangan ke arah majlis itu,” katanya.

Tambahnya, “Anak-anak pun ada beritahu, yang mereka akan memberi sokongan pada apa sahaja keputusan yang baik buat saya. Mereka, hanya mahu melihat saya gembira”.

Sementelahan, keluarganya serta keluarga sebelah mentua juga sering mengingatkan agar dia sedia mempertimbangkan lamaran serius lelaki yang mahu memperisterikannya.

“Allahyarham ibu mentua saya juga pernah berpesan, jika ada lelaki yang melamar, cubalah menerimanya. Alhamduliillah, berkat restu dan sokongan anak-anak serta keluarga, saya kini sudah bersedia menerima lamaran itu,” jelasnya.

Terdahulu, Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. Malah, pada 13 Disember 2019 pula Nora diduga dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.

Sumber: Astro Awani