Tanpa Reymee, konsert Innuendo – The Return tetap imbau nostalgia

Bakal mengadakan konsert 10 April depan, kumpulan R&B yang cukup popular sekitar 90-an, Innuendo bakal mengegarkan pentas Istana Budaya.

Walaupun konsert Innuendo – The Return ini hanya menampilkan tiga orang anggota asalnya sahaja iaitu Shamsul Azhar Nazeer (Sam), Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj) dan Saiful Amir Abdul Wahab (Pot). Namun janji mereka adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik.

“Sebenarnya kami ada mengajak seorang lagi anggota kumpulan ini iaitu Reymee, namun dia membuat keputusan untuk tidak turut serta kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya sekarang.

“Jadi, kami menghormati keputusannya biarpun setahun kami cuba memujuknya. Apa pun, konsert ini akan tetap diteruskan oleh kami bertiga sahaja,” ujar Sam yang mewakili kumpulan berkenaan ketika pelancaran konsert tersebut.

Dikenali ramai menerusi lagu-lagu seperti Belaian Jiwa, Gemawan, Ratu Hati dan Selamanya. Kata Taj, walaupun Reymee tidak lagi bersama mereka namun buat masa ini mereka tidak melihat ada keperluan untuk mencari pengganti.

“Kalau ada, adalah. Kami tidak mencari pun. Sebab kalau mahu bantuan vokal untuk harmoni ada sahaja kawan-kawan dari kumpulan lain yang boleh membantu,”jelasnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai konsert anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd., Sam memberitahu sebanyak 26 buah lagu yang akan dipersembahkan termasuk medley.

“Semasa konsert itu nanti juga kami akan mempersembahkan sebuah lagu istimewa yang telah dibuat remake semula iaitu lagu Kau Ilhamku,” jelasnya.

Bagi yang ingin menonton konsert berkenaan, tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM695 (meet & greet), RM355 (diamond), RM255 (platinum) serta RM125 (gold) dan ia boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia