Pilih kehidupan ringkas, Ramlah Ram akui tiada rakan baik daripada golongan artis

    Pernah berada di puncak populariti, ternyata sehingga kini nama Ramlah Ram tidak pernah jauh daripada peminat setia.

    Ternyata selepas hampir 35 tahun bergelar penyanyi ada yang percaya Ramlah Ram sendiri sudah puas untuk meraih populariti sehingga ada yang mengatakan dia semakin hilang kini.

    Menolak kenyataan itu, kata penyanyi berusia 54 tahun ini dia masih menjadikan dunia nyanyian sebagai bidang kerjaya utama.

    “Saya masih lagi menyanyi seperti biasa cuma di majlis-majlis.

    “Syukur Alhamdulillah dalam tempoh sekarang masih ada peminat yang menyokong saya. Sebab itu saya masih juga disini,” katanya.

    Namun ada melihat sikap “eksklusif “ yang ada penyanyi ini membuatkan dia jarang mendapat perhatian kini. Malah jika rakan seperjuangnya lain lebih mudah ditemui di laman sosial dan majlis hiburan ternyata penyanyi ini lebih senang mempunyai kehidupan yang ringkas.

    “Saya memang seorang yang suka menghabiskan masa di rumah dengan keluarga sahaja. Bagi saya itu lebih sesuai untuk saya, bukanlah maknanya saya tidak menerima undangan ke majlis-majlis hiburan tetapi atas tanggungjawab sebagai penyanyi sahaja.

    “Soal kawan pula, saya memang tidak mempunyai rakan daripada golongan artis. Bukanlah tidak berkawan, kalau jumpa itu masih boleh bercakap. Cuma yang betul-betul rapat itu saya ada beberapa orang kawan sahaja,” katanya jujur.

    Sementara itu bercakap mengenai lagu baharunya berjudul Masar Cinta selepas lapan tahun sepi tanpa lagu baharu, jelas Ramlah Ram Masar Cinta cukup besar maknanya.

    Jelasnya bukan mudah memandangkan mengenangkan Allahyarham ID Mifzal yang juga penggubah lagu ini membuatkan dengan dia mengambil masa yang lama untuk melengkapkan proses lagu ini.

    “Lagu ini sudah lama tetapi Allahyarham sewaktu sakit memilih untuk siapkan sendiri jadi perjalanan lagu ini agak lambat sikit sebab sewaktu itu dia masih keluar masuk hospital.

    “Alhamdulillah seleas tiga tahun kami keluarkan lagu ini. Memang tujuan utama adalah untuk tunaikan impian Allahyarham sendiri,” katanya.

    Lagu Masar Cinta boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Joox dan Deezer.