“Gerai Nasi Lemak Buat Isteriku” Hadiah Apex Tajudin Buat Cinta Hati

    Juara Mentor Milenia 2019 Apex Tajudin menyimpan impian untuk membuka sebuah gerai nasi lemak buat isterinya.


    Jelasnya sejak awal lagi dia melihat penglibatannya dalam program Mentor Milenia 2019 sebagai platfom terbaik untuk dia mengubah kehidupan keluarganya.

    “Antara sebab saya memasuki program ini adalah untuk mengubah nasib keluarga saya. Sebelum ini isteri saya memang menjual nasi lemak secara kecilan di hadapan rumah kami di Terengganu.”


    “Jadi saya memang berhasrat sangat untuk membuka sebuah gerai nasi lemak untuk dia,”katanya yang juga merupakan seorang buskers sebelum ini.

    Merupakan seorang penyanyi jalanan sebelum ini, Apex memberitahu melalui wang RM100,000 yang dimenanginya ini juga akan digunakan dia untuk menaja pakej Umrah buat ibu bapanya, mertua dan isteri.

    “Duit kemenangan ini juga saya mahu gunakan untuk membawa mereka menunaikan umrah”

    “Saya juga memang mempunyai perancangan untuk tinggal di rumah sendiri. Sebab sekarang saya tinggal bersama mertua. Sama ada saya dan keluarga akan tinggalkan Terengganu, semuanya bergantung kepada rezeki,”selain wang tunai Apex turut membawa pulang motosikal jenama Benelli dan peluang merakamkan single bersama Faizal Tahir.

    Sementara itu Hazama yang juga Mentor kepada Apex memberitahu dia sangat berbangga untuk melihat kejayaan Apex dalam program ini.

    “Dia mempunyai bakat selain sangat komited dalam program ini.

    “Nasihat saya agar sentiasa fokus dengan apa yang mahu dicapainya selain sentiasa bersikap rendah diri,”ujarnya.

    Sementara itu, tempat kedua milik Daus Husny yang juga protege kepada Ernie Zakri. Protege Black, Aedy Kama mendapat tempat ketiga diikuti anak didik Stacy, Rika Riana meraih tempat keempat. Kesemua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 , RM20,000 dan RM10,000.

    Mentor Milenia 2019 diadili hakim profesional iaitu Altimet, Datuk Syafinaz Selamat dan Faizal yang juga juri undangan bagi pentas akhir. Markah juri membentuk 60 peratus daripada keputusan dengan baki 40 peratus diperoleh daripada undian dalam talian.

    Program realiti itu dikendalikan pengacara Shuk Sahar dan Elly Mazlein.