Faktor umur dan perubahan peminat buat Azlan menyepi dua tahun

    Hampir dua tahun memilih untuk tidak aktif dalam bidang seni, Penyanyi Azlan & The Typewriter akhirnya mengakui faktor umur dan ingin mencari kelainan dalam lagu baharu membuatkan dia mengambil masa untuk muncul kembali.

    Ternyata kehadiran single baharu Jangan Khianati Aku memberi nafas baharu bukan sahaja buat karier nyanyiannya tetapi juga buat dirinya sendiri.

    “Dalam tempoh itu saya bukan sahaja mahu memahami diri saya tetapi dalam masa yang sama membuat kajian tentang pendengar muzik masa kini.

    “Saya faham sewaktu kemunculan saya dahulu semuanya berbeza, jadi untuk tampil sebagai penyanyi waktu ini saya kena belajar banyak benda baharu dan pertaruhan pertama saya untuk kembali ada melalui lagu ini,” katanya.

    Memilih untuk mencipta dan menyanyikan lagunya sendiri. Kata Azlan penting buat masa ini untuk dia mencari kepuasan dalam berkarya.

    “Bukan soal tamak, saya pernah bekerjasama dengan ramai pihak. Cuma saat ini kepuasan itu berbeza sebab saya lebih tahu apa yang saya mahu dalam setiap lagu.

    “Untungnya waktu sekarang pendengar muzik lebih cepat matang. Sebab itu saya tidak takut untuk muncul dengan lagu ini memandangkan peminat lebih menghargai muzik berat,” tambahnya ketika ditemui pada majlis bersama media di Damansara semalam.

    Sementara itu Azlan atau nama sebenar Nor Azlan Rosle, 38, dalam memberi lebih perbezaan dia juga kini mempunyai “team” baharu dalam menguruskan kerjayanya.

    “Kalau saya terus bersama dengan team lama saya rasa akan duduk di kelompok lama, sebab itu saya kini bersama Indigital Music dalam membantu karier saya lebih maju,” jelasnya.

    Sementara itu setakat hari ini tontonan lirik dan muzik video lagu Jangan Khianati Aku di YouTube sudah mencatat lebih 1.6 juta dan ia dianggap pencapaian terbaik Azlan di permulaan 2020.