DYLEA PERTARUHKAN UNTUK AKU

     

    TIADA siapa menyangka video nyanyiannya satu ketika dahulu benar-benar membawa namanya menjadi perhatian ramai. Ada yang tahu, tak kurang juga yang masih tertanya-tanya siapakah gadis yang berjaya mencuri pandangan mata segelintir peminat sebelum ini.

    Siapa sangka, video wanita yang dikenali dengan nama Dylea ini menyanyikan lagu Madah Berhelah dendangan Ziana Zain mendapat perhatian ramai sebaik sahaja mula dimuat naik dalam YouTube lima tahun yang lalu.

    Dia sendiri tidak menyangka daripada sekadar suka-suka menyanyi di majlis perkahwinan jirannya, ada yang merakam dan akhirnya membuatkan dia menjadi buruan banyak pihak ketika itu.

    “Saya sendiri tidak menyangka video itu sudah ditonton hampir tiga juta pelayar sehingga ke hari ini. Mungkin orang melihat ada yang istimewa tentang video tersebut meskipun saya kurang memahaminya pada peringkat awal.

    “Tapi setelah beberapa tahun video tersebut tular barulah saya mula memahami sedikit demi sedikit sehingga membuatkan tertarik untuk bergelar penyanyi,” katanya gadis berusia 24 tahun ini.

    Mengimbas kembali perjalanan karier seninya, Dylea bersyukur kerana dia diberikan kesempatan merakamkan lagu UNTUK AKU yang dijadikan taruhan ketika ini.

    Meskipun ada yang menganggap perjalanan seninya sepatutnya bermula lebih awal ketika video tersebut tular, Dylea pula ada sebab mengapa dia sedikit terlewat untuk membuat langkah pertama.

    “Kira-kira lima tahun yang lalu, memang ramai yang menghungi saya dan memberikan peluang untuk menjadi artis rakaman. Mereka datang menawarkan pelbagai jenis lagu dan beberapa tawaran istimewa yang lain.

    “Tapi saya tak mahu gopoh dalam hal begini. Nak menjadi penyanyi bukan boleh main-main dan saya perlu asah bakat terutama aspek vokal memandangkan saya tiada asas,” tambahnya.

    Sebagai rekod, UNTUK AKU diterbitkan Family Tree Media Sdn. Bhd., Dylea atau nama sebenarnya Noradilah Jamaludin yakin lagu berentak balada itu mempunyai keistimewaan untuk menambat hati pendengar.

    “Saya pernah dirisik oleh beberapa syarikat rakaman sebelum ini namun semuanya belum berezeki. Jadi apabila ada yang kembali memberikan peluang dan percaya kepada bakat diri ini, ini peluang terbaik yang tidak boleh dilepaskan.

    “Atas dorongan dan keyakinan beberapa pihak, saya memberanikan diri untuk menerjah industri seni dengan lagu ini. Besar harapan agar lagu ini diterima baik oleh semua,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.

    UNTUK AKU merupakan lagu hasil tulisan Intan Saharudin dan melodi oleh Zamzoy dan Sheikh Qalam sudah boleh didengar menerusi platform YouTube, Spotify, Joox dan beberapa medium penstriman.

    Meskipun sudah bergelar usahawan, Dylea mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian namun dalam masa yang sama terus maju dalam bidang perniagaan yang sedang diusahakan.