“Dah tua tu elok mengaji je dekat rumah” – Mat Zain ‘kebal’ kritikan, asalkan tak ‘petik’ keluarga

AWALNYA ragu-ragu, namun siapa sangka penyanyi era 90-an yang pernah menganggotai kumpulan ChenG-Y ini mampu membuka mata masyarakat apabila berjaya menduduki carta trending nombor 11 di laman Youtube.

Mat Zain, 54, bagaimanapun tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan apabila dilontar komen-komen yang seakan kurang senang ‘comeback’ yang dibuatnya.

“Sekarang ni dah tahun 2021! Masih ada lagi lagu dan penyanyi tua macam ini?

“Dah ketandusan idea ke Apak (komposer) ni? Macam mana industri muzik kita nak majumacam ni?,” tulis seorang netizen.

Mat Zain tidak menyangkan lagu Dia dapat tempat di hati pendengar.

Lebih mengejutkan, individu tidak bertanggungjawab terbabit turut meninggalkan komen yang dianggap melampau.

“Dah tua tu elok la mengaji dekat rumah,” tulisnya.

Mat Zain bagaimanapun menjelaskan dia enggan menjadikan komen-komen sebegitu sebagai penghalang bagi dirinya untuk terus bergelar penyanyi.

Dia turut meluahkan rasa terima kasih atas pelawaan Apak Harry yang dianggap membuka satu lembaran baharu dalam karier nyanyiannya.

“Saya tak ambil pusing apa yang mereka katakan, setiap individu ada hak untuk meluahkan pendapat mereka. Asalkan ia tidak membabitkan keluarga saya.

“Saya juga nak ucapkan rasa berterima kasih kepada Apak Harry yang berjaya meyakinkan saya untuk merakamkan lagu Dia ini. Tak sangka pula ia berjaya menduduki carta trending sekaligus menambah keyakinan saya biarpun dalam usia emas ini,” kata Mat Zain kepada The News.

Lagu Dia berjaya duduki carta ‘trending’ di Youtube’.