“Berubah adalah hal terbaik dalam hidup…” – A. Nayaka cuba jadi ‘Orang Lain’ bersama SonaOne & YHB Sleepsalot

PENYANYI rap kelahiran Indonesia, A. Nayaka baru-baru ini telah melancarkan lagu ‘Orang Lain’ berkolaborasi bersama SonaOne & YHB Sleepsalot. Dalam karyanya kali ini, Nayaka bercerita mengenai sisi positif dari perubahan.

“Kadang-kadang, orang menganggap bahawa jika seseorang telah berubah atau ketika seseorang itu telah melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan mereka seperti sesuatu yang buruk. Dalam trek ini, apa yang saya ingin ceritakan adalah mengenai sisi positif perubahan”, jelasnya.

Nayaka turut berkongsi, “Awalnya Sonaone mengirim beat yang kemudian saya isi dengan hook dan satu verse. Rupanya, Sona juga mengirim beat yang sama kepada YHB, dan YHB pun hanya mengisinya dengan satu verse. Sona lalu terpikir untuk menggabungkan semuanya. Jadi kolaborasi ini sangatlah organik dan tanpa tekanan sama sekali”.

Sebelum ini, Nayaka lebih kerap berkarya dalam bahasa Inggeris, namun kali ini dia lebih banyak memberi penekanan pada bahasa ibundanya iaitu bahasa Indonesia.

“Sebenarnya, penggunaan Bahasa Indonesia bukanlah pilihan yang disengajakan. Ia berkait rapat dengan mesej dalam “Orang Lain”. Dulu kebanyakan muzik yang saya buat biasanya dalam bahasa Inggeris, tetapi kali ini saya masih tetap menggunakan rentak trap/hip-hop namun berusaha memasukkan lebih banyak bahasa Indonesia.”

“…Intipatinya, tidak kira bagaimanapun kita berubah, pada dasarnya kita masih tetap diri kita sendiri. Itulah mesej utama yang ingin saya sampaikan. Namun sejujurnya, saya hanya menyatukan mesej tersebut setelah lagu itu siap,” ujarnya sambil tertawa.

Apa pun jom kita layan dulu lagu baru ini!