“Bercinta pun kena patuh SOP…” – “Cinta PKP” ala Tyqa Sufyan

KEHADIRAN penyanyi baru, Tyqa Sufyan dengan lagu single “Cinta PKP” baru-baru ini sememangnya mendapat sambutan yang baik.

Sesuai dengan situasi pandemik ketika ini, Nurwatika Andi Sofyan atau lebih mesra dikenali sebagai Tyqa Sufyan, 22, menjelaskan bahawa lagu “Cinta PKP” ini mengisahkan bagaimana cinta di antara pasangan yang terpaksa berjauhan mengharungi waktu pandemik.

“Disebabkan Covid 19, kerajaan minta orang ramai untuk menjaga SOP dan bagi pasangan yang berjauhan mungkin antara cara kita boleh meluahkan rasa cinta dan rindu itu melalui aplikasi berhubung dan media sosial yang ada sahaja”, katanya.

Lagu ciptaan komposer Hadi Rumnan dan lirik oleh Iman Imran ini telah memberi peluang kepada Tyqa untuk meluaskan lagi bakatnya dalam industri muzik.

Menurut penyanyi yang berasal dari negeri bawah bayu ini, “Saya sudah mula bernyanyi sejak berusia 12 tahun dan sebelum ini saya memuat naik banyak cover lagu di Instagram kerana saya belum membuat akaun Youtube saya sendiri lagi”.

“Saya berharap lagu ini mendapat sambutan dari pendengar dan jika diberikan peluang lagi, sudah tentu saya mahu mengeluarkan single pada masa akan datang”, ujarnya lagi.

Menurut Tyqa, sebagai penyanyi baru sudah tentu dia mahu diberikan peluang lagi jika “Cinta PKP” mendapat sambutan dan kini muzik video lagu itu telah mendapat lebih 40 ribu tontonan.

Tyqa juga turut berkongsi mengenai aktiviti yang dilakukan bagi mengisi masa lapang sepanjang tempoh PKP. Apa yang menarik, Tyqa membuat perniagaan menjual burger di Sabah dan sambil itu dia membantu ibunya di restoran.

Walau apa pun, selamat maju jaya untuk Tyqa Sufyan dan jom kita layan dulu lagu “Cinta PKP”!