ASYRFNSIR VIRUS DALAM LAGU

     

    Selepas saja dinobatkan juara RapStar ERA baru-baru ini, pendatang baru ASYRFNSIR atau Asyraf tidak menunggu lama untuk tampil dengan single pengenalan berjudul Virus. Semestinya pertaruhan sulung ini mempunyai makna tersendiri buat Asyraf memandangkan Virus bakal menentukan sejauh mana dia mampu mencipta fenomena dalam persada genre muzik hip hop tempatan.

    Turut berkolaborasi dan mendapat tunjuk ajar daripada SonaOne, pastinya memberi kelebihan buat Asyraf. Apalagi, SonaOne sendiri adalah figura hip hop paling relevan dan diakui keberkesanan kualiti karyanya di Malaysia sekarang. Gabungan antara nama senior dan bakat segar itu tentu sekali memiliki magis tersendiri untuk menjadikan Virus fenomena dalam masa terdekat.

    Kebetulan, Virus dilancarkan sewaktu seluruh dunia kini berperang dengan virus COVID-19 yang menghantui hari-hari setiap orang. Ironinya, Virus tidak menyentuh sama sekali mengenai penularan wabak itu sebaliknya Asyraf mengadaptasi frasa paling popular paling dekat di hati semua dan popular berkenaan. Menurutnya, dia cuma menjadikan frasa itu sebagai lambang tepat menggambarkan dirinya.

    “Ku boleh berjangkit, ooh, aku ni Virus”. Mungkin disebabkan situasi terkini, ramai pendengar akan menganggap lagu ini adalah tentang wabak COVID-19 sekarang. Tapi sebenarnya virus yang dimaksudkan itu adalah saya. Sewaktu saya menyertai RapStar ERA, saya memang menyimpan niat untuk memastikan karya yang dihasilkan sampai dan ‘menjangkiti’ semua orang.

    “Ini disebabkan saya yakin dan percaya ada sesuatu yang unik dan istimewa dalam muzik saya serta bakal membuat orang ketagih dengan lagu-lagu saya. Terutama sekali daripada segi permainan kata-kata saya. Banyak rujukan saya buat untuk menulis lirik lagu ini termasuklah menyentuh aspek menjaga kebersihan, kuman, dan sebagainya. Apapun, tafsiran sebenarnya adalah menyentuh mengenai karakter saya sebagai penyanyi rap,” katanya.

    Menyalurkan kisah peribadinya sendiri dalam lirik Virus, Asyraf juga memutuskan untuk lebih terbuka mengenai dirinya dalam penghasilan lagu ini. Baginya, itulah kekuatan sebenar lagu ini di mana bukan saja liriknya retorik bahkan kedalaman mesej itu sendiri mampu membuatkan pendengar lebih faham kisah keseluruhan lagu.

    “Suara besar dalam stereo, ASYRFNSIR on the radio”. Saya rasa bahagian ini paling kuat disebabkan baris ini adalah tafsiran kisah saya memulakan kerjaya rap di laman sosial. Mungkin sambutan saya terima kurang sebelum ini dan ada juga yang skeptikal dan tidak mengambil serius hasil karya saya. Berkat terus konsisten, saya teruskan perjuangan dan percaya peluang lebih besar menanti di hadapan.

    “Kemenangan pada RapStar ERA itu ternyata membuka jalan yang nyata untuk saya realisasikan angan-angan itu. Dengan pelancaran single ini, ‘suara besar’ saya kini bakal berkumandang di corong radio mahupun pembesar suara masing-masing. Pencapaian ini sangat manis untuk dikenang sepanjang tahun 2020,” katanya.

    Bercerita mengenai sebalik tabir pembikinan lagu ini pula, Asyraf amat berbesar-hati dengan bantuan SonaOne dan mengakui sentuhan komposer itu menjadikan hasil akhir Virus lebih sempurna. Meskipun mengakui berdepan cabaran daripada segi lirik, tidak menggugat langsung percambahan kreativiti pada penghasilan iramanya.

    “Tahap pemikiran SonaOne sememangnya berada di tahap tersendiri. Dalam 20 minit pertama dia mampu siapkan rangka asas pada iramanya dan lagu ini berjaya siap sehari saja dalam masa tujuh jam. Meskipun begitu, setiap masa, dia masih boleh tambah instrumen mahupun bunyi baru dalam lagu ini. Saya pun tidak pasti bagaimana dia boleh lakukannya. Kalau dengar setiap bahagian dari intro, korus, dan outro, elemennya berbeza-beza,” katanya.

    Secara keseluruhannya, Asyraf mengakui sangat berpuas-hati serta berbangga dengan hasil akhir Virus. Dia juga berharap karya ini bakal memikat pendengar sebagaimana dirinya turut larut dengan kualiti serta keberkesanannya.

    “Saya memang sangat puas memandangkan daripada segi produksi, lagu ni memang berkualiti tinggi dengan bantuan kepakaran SonaOne. Berbaloi sungguh saya habiskan masa berjam-jam dalam studio yang secara tidak langsung merangsang cetusan idea saya jadi lebih berganda. Saya harap semua pendengar, tak kisah penggemar hip hop atau tidak, agar lagu ini akan melekat serta-merta di kepala anda,” katanya.

    Virus boleh dimuat-turun di iTunes dan laman penstriman muzik terpilih yang lain termasuklah Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, dan KKBox.

    Sebarang pertanyaan lanjut, promosi dan temu bual, sila hubungi Jabatan Domestik Universal Music Malaysia;