Amira Othman pilih ‘Tragedi’, dedah duka dalam percintaan

SELEPAS muncul dengan lagu ‘Surat Akhir’ pada awal tahun ini, penyanyi Amira Othman kini tampil dengan sebuah lagi buah tangan terbaharu khas buat peminat melalui lagu ‘Tragedi’. 

Amira atau nama sebenarnya Nadira Amira Othman berkata lagu Tragedi telah dipilih menjadi runut bunyi utama (OST) bagi drama bersiri terbitan Astro yang berjudul ‘Malaysian Ghost Stories’.

Drama bersiri bergenre seram itu mula ditayangkan pada 25 Ogos pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 11 malam dan akan bersiaran selama 48 episod yang turut menampilkan pelakon ternama seperti Ara Johari, Janna Nick, Zahiril Adzim dan ramai lagi.

Menurut Amira, lagu tragedi telah mula dihasilkan sejak tahun 2011 lagi. Namun pada ketika itu, beliau belum berkecimpung sebagai seorang penyanyi professional.

“Single ini menceritakan tentang kisah sedih dalam percintaan” – Amira Othman

“Sebenarnya lagu ini telah dicipta sebelum saya menyertai AF lagi dan ketika itu saya berangan-angan untuk menjadi seorang penyanyi.

Melodinya mendapat sentuhan istimewa komposer Sharon Paul, manakala liriknya adalah nukilan saya sendiri,” kata Amira kepada The News Malaysia.

Amira yang popular menerusi fenomena drama bersiri ‘Abang Bomba I Love You’ suatu ketika dahulu merasakan rezekinya datang mencurah-curah walaupun dalam keadaan pandemik di mana semua orang terkesan.

“Alhamdulillah rezeki tak pernah salah alamat,” tambahnya.

Setelah hampir dua tahun tak muncul dengan mana-mana single dan sembuh sepenuhnya daripada kecederaan otot sebelum ini, kini saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerjaya seni saya.

“Baru hanya 3 bulan single Surat Akhir dilancarkan, saya menerima panggilan daripada tuan pengarah Izuan Mokhtar yang menyatakan keinginan beliau dalam menggunakan lagu saya sebagai OST Malaysian Ghost Stories,” katanya.

Single ini menceritakan tentang kisah sedih dalam percintaan apabila kehilangan orang yang tersayang ibarat sebuah Tragedi.

“Rakaman asal lagu ini pada tahun 2011 terpaksa dirombak semula kerana tona vokal yang berbeza.

“Jadi, pihak pengurusan mencadangkan agar ia diolah semula pada bulan yang Mei lalu. Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama kerana saya sudah menghafal lagu tersebut, lebih-lebih lagi ia adalah lagu pertama ciptaan saya sejak menceburi industri nyanyian dan ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri,” ujarnya lagi.

Amira mula mengorak langkah sebagai anak seni sejurus menyertai program realiti Akademi Fantasi (AF) musim ke-10 pada tahun 2013.

Namun single ‘Hati-hati’ yang melonjakkan nama beliau sebagai seorang penyanyi mainstream sekaligus membuka lebih banyak peluang dalam bidang seni.

“Saya akui saya seorang yang sangat cerewet apabila menghasilkan sesebuah karya.

“Namun saya belajar daripada kesilapan lalu dan tak akan mengambil tempoh yang lama untuk mencari material yang seterusnya,” katanya.