“Masa latihan semuanya okay saja” – Nuha Bahrin akui rosakkan lagu Datuk Jamal Abdillah

PESERTA program Vokal Mania, Nuha Bahrin yang menyanyi sumbang lagu Kekasih Awal Dan Akhir pada Sabtu lalu terus menjadi bahan jenaka netizen.

Bukan sahaja di ruangan komen Instagram dan YouTube, malah ramai membuat parodi dengan meniru persembahan itu.

Nuha berkata, dia bersetuju apabila dikatakan sudah merosakkan lagu nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah itu.

“Saya setuju orang cakap saya merosakkan lagu Datuk Jamal. Malam itu bukan malam saya. Saya terlalu gementar dan tak tahu kenapa. Masa latihan semuanya okay saja. Tapi ia sudah nak jadi.

“Saya rasa sangat teruk sebab ia lagu yang bagus. Ditambah pula gubahan muzik pun bagus, jadi sayang saya tak dapat buat betul-betul,” katanya.

Pada sesi temubual bersama radio Hot FM dalam segmen Geng Pagi Hot , Nuha menyifatkan perasaan gementar membuatkan dia tidak dapat mengawal suara dengan baik.

“Tidak ada apa yang mengganggu fikiran, cuma kelemahan saya sebab tidak pandai lagi nak kawal gementar,” katanya.

Video persembahan Nuha yang dimuat naik di saluran YouTube TV9 Malaysia Official itu sudah mencecah lebih 200,000 tontonan dan lebih 3,000 komen.

Pun begitu, Nuha berjaya memenangi Rookie Star Award hasil undian penonton.

Sumber: Metro